Wanita tergamak bakar al-Quran rupanya alami tekanan perasaan

Oleh KIM SYAZIE

Seorang wanita tempatan tergamak membakar helaian naskah al-Quran di sebuah tempat letak kereta di Ampang.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, wanita berusia 32 tahun yang bekerja sebagai sebagai pengawal keselamatan itu dikatakan menghadapi masalah keluarga.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di laluan tangga 2, tempat letak kereta di sebuah premis di Jalan Ampang pada kira-kira pukul 1.15 pagi.

“Motif kejadian masih belum jelas, namun, siasatan awal mendapati suspek mengalami tekanan perasaan akibat masalah keluarga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Noor Dellhan berkata, ujian air kencing terhadap suspek mendapati dia tidak berada di bawah pengaruh alkohol ataupun dadah.

“Semakan rekod kesihatan juga mendapati suspek tiada rekod masalah mental.

“Suspek direman empat hari bermula Khamis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara (tidak bawa kad pengenalan),” jelasnya.