Seorang wanita meluahkan rasa terkilan apabila sering disindir oleh ahli keluarga mentuanya setiap kali pulang menyambut perayaan bersama suami.
Menurutnya, dia menerima perlakuan sedemikian hanya kerana statusnya sebagai janda anak tiga dan perkahwinan yang tidak mendapat restu keluarga suami sejak awal.
Perkongsian wanita itu tular di media sosial apabila dia menceritakan pengalaman menyambut Aidiladha baru-baru ini yang disifatkannya sebagai cukup menggores hati.
Menurutnya, dia tidak kisah lokasi sambutan hari raya memandangkan kampung halamannya jauh, namun perasaan menjadi ‘orang luar’ dalam keluarga mentua membuatkan dirinya serba salah setiap kali tiba musim perayaan.
“Saya tahu saya bukan menantu pilihan mereka sebab kahwin pun senyap-senyap dan status saya masa tu janda anak tiga. Kalau ikutkan hati, saya memang tak nak balik rumah mak mentua, tapi keadaan memaksa saya,” katanya.
Tambahnya, tuduhan kononnya dia seorang menantu pemalas juga menjadi antara tekanan utama.
Wanita itu berkongsi rasa kecewa apabila masakannya tidak pernah dijamah oleh sesiapa, seolah-olah kehadirannya langsung tidak dihargai.
Meskipun sindiran dan layanan dingin itu berulang kali berlaku, wanita ini memilih untuk berdiam demi mempertahankan rumah tangga yang dibina atas dasar kasih sayang.
“Kadang saya rasa tak diperlukan pun dalam rumah tu. Tapi sebab suami nak jumpa mak dia, saya ikutkan.
“Saya buat-buat teruja nak balik rumah mentua. Tapi bila saya masak, tak ada siapa makan. Benda ni bukan terjadi sekali dua, sebab tu saya malas nak masuk dapur,” katanya lagi.
Baca juga: Wanita curiga bakal suami berkepit dengan anak buah 26 tahun, nak duduk serumah lepas kahwin