“Nampak biasa lauk ini, asam pedas ayam. Hakikatnya, inilah yang sulit untuk ditelan,” itu adalah luahan seorang wanita ketika menyantap hidangan terakhir dimasak oleh ibunya sebelum pergi buat selamanya.
Luahan itu dikongsikan menerusi satu hantaran video di platform TikTok yang turut memaparkan dirinya sewaktu sedang menikmati nasi berlaukkan asam pedas terakhir buatan ibu tercintanya.
Dalam perkongsian itu, wanita berkenaan memaklumkan bahawa ibunya sempat memasak hidangan kegemaran seisi keluarga sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 6 Disember, tahun lalu.
Rakaman berdurasi lapan saat itu kemudian dimuat naik di akaun TikTok miliknya dengan tujuan untuk disimpan sebagai kenangan namun turut berjaya mengundang sebak orang ramai yang menontonnya.
Menurut wanita berkenaan, asam pedas ayam yang hanya sempat dijamahnya selepas proses pengebumian ibunya selesai itu sememangnya terasa enak namun begitu sukar untuk ditelan.
“Sudah dua bulan mak meninggalkan kami. Baru hari ini terasa nak buat video ini. Simpan sini sebagai kenangan. Sebelum pergi selamanya, mak sempat masakkan lauk kegemaran kami semua iaitu asam pedas (ayam).
“Selesai uruskan jenazah, malam itu juga paksa diri untuk makan masakan air tangan terakhir mak. Sebab selepas ini, sudah tiada lagi mak nak masakkan lauk macam ini. Sedap, tetapi susah nak telan,” katanya.
Dalam perkongsian yang sama, wanita itu juga sempat menyampaikan pesanan kepada orang ramai agar lebih menghargai ibu mereka selagi mempunyai kesempatan sebelum terlambat.
Setakat artikel ini ditulis, rakaman yang mengundang sebak orang ramai itu berjaya meraih sebanyak 141,300 tontonan dan juga 3,028 tanda suka daripada pengguna platform TikTok.
“Allah sahajalah yang tahu perasaannya. Buat semua, hargailah selagi ibu masih ada. Mak meninggal dunia di dalam tidur, petang Jumaat pada 6 Disember 2024. Mak sempat mandi sebelum tidur petang itu dekat rumah.
“Banyak kali mak beritahu. Kalau meninggal dunia, mak tak nak susahkan anak-anak. Mak, Allah kabulkan permintaan mak,” ujar wanita terbabit dalam perkongsian tersebut.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna berkongsi rasa simpati selain memberikan semangat kepada perakam video agar terus kuat untuk meneruskan hidup.
Ramai juga pengguna tampil berkongsikan pengalaman peribadi mengenai masakan terakhir dimasak oleh ibu masing-masing yang mana ada antara mereka sanggup menyimpan hidangan tersebut selama bertahun lamanya.
Baca juga: Pengumpul tegar Hot Wheels jual 20,000 koleksi kereta mainannya pada harga RM250k