Warga emas 77 tahun temui jodoh pertama kali dengan kenalan zaman sekolah

Oleh KIM SYAZIE

Siapa sangka, setelah lebih separuh abad berpisah, kenalan lama sewaktu di bangku sekolah yang terputus akhirnya bertaut kembali.

Begitulah kisah manis Azizah Alias, 77, yang baru sahaja bergelar isteri buat pertama kali selepas disatukan dengan Profesor Datuk Dr Md Sham Kassim, 81, dalam satu majlis ringkas di Kampung Lada, Rembau.

Azizah, pesara kerajaan, berkata dia tidak menyangka lelaki yang ingin berkenalan dengannya rupa-rupanya adalah kenalan lama zaman persekolahan.

“Saya dapat mesej daripada anak saudara yang beritahu pensyarahnya mahu berkenalan dengan saya.

“Bila tengok namanya, rupa-rupanya kami saling mengenali ketika zaman sekolah dulu,” katanya menurut Sinar Harian.

Percikan semula perkenalan mereka tercetus melalui anak saudara Azizah, yang juga bekas pelajar kepada Md Sham.

Sejak itu, hubungan mereka kembali terjalin dan akhirnya membawa kepada ikatan perkahwinan.

Menurut Azizah, walaupun pernah didekati lelaki lain ketika muda, hatinya tidak pernah terbuka untuk sesiapa sehinggalah Md Sham hadir semula dalam hidupnya.

“Saya percaya jodoh saya akan sampai suatu hari nanti. Tapi bila masa itu, saya tak pasti. Setiap orang ada jodoh masing-masing.

“Dengan izin ALLAH, saya dipertemukan dengan suami, dan saya rasa dia adalah suami terbaik untuk saya,” katanya.

Md Sham pula, yang merupakan bekas pakar perubatan kanak-kanak dan pensyarah, memaklumkan dia baru kehilangan isteri kira-kira enam bulan lalu.

“Selepas kematian isteri, hidup saya terasa sunyi dan saya teringatkan semula Azizah.

“Saya minta bantuan bekas pelajar saya, yang juga anak saudara Azizah, untuk mendapatkan nombor telefonnya dan sejak itu kami kembali berhubung,” katanya yang mempunyai empat anak dan enam cucu.

Baca juga: Pak cik dalam video tular turut sumbang, AJK surau nafi bayar bil guna yuran penduduk