Baru-baru ini tular satu rakaman di platform TikTok mengenai pendedahan dilakukan seorang warga Turkiye tentang penerimaan jemaah Malaysia di tanah suci Makkah.
Dalam rakaman itu, lelaki Turkiye terbabit mengakui bahawa rakyat tempatan yang menunaikan ibadah haji di Makkah adalah antara jemaah paling dihormati di sana.
Lelaki terbabit turut mendedahkan salah satu punca utama jemaah Malaysia cukup disenangi menurut pengalaman ibunya sendiri yang pernah menunaikan ibadah haji.
“Mak saya pernah ke Makkah. Dia kata ketika berkunjung ke sana, rakyat Malaysia adalah orang yang paling dihormati dan mereka tidak berbau busuk seperti jemaah lain.
“Badan jemaah dari negara lain kebanyakannya berbau. Tetapi bau badan orang Muslim Malaysia lebih baik daripada orang Islam Turkiye. Saya ada ramai rakan Muslim dari negara Arab lain dan mereka akan memuji kami (Turkiye).
“Seperti rakan saya dari Jordan atau Lubnan akan cakap Muslim kami ini lebih baik daripada mereka. Namun, kami pula cakap orang Islam dari Malaysia termasuk juga Indonesia lebih baik daripada kami,” akui lelaki terbabit.
Pendedahan tersebut dibuat oleh lelaki Turkiye yang merupakan seorang peniaga itu selepas menerima kunjungan dari sekumpulan pelancong Malaysia di kedai miliknya.
Ketika kejadian, beberapa orang rakyat Malaysia yang melancong ke negara terbabit termasuk perakam video masuk ke premis miliknya dipercayai untuk membeli-belah.
Peniaga berkenaan kemudian bertanyakan soalan, ‘kamu semua berasal dari mana?’, sebelum mengucapkan ‘Masya-Allah’ selepas sekumpulan pengunjung itu menjawab dari Malaysia.
Tular di media sosial, tinjauan di ruangan komen hantaran video tersebut mendapati rata-rata pengguna terutama rakyat Malaysia terharu dengan pujian diberikan warga Turkiye terbabit.
Ramai juga pengguna memberikan kredit kepada didikan yang diberikan oleh ‘orang tua’ untuk mandi sekurangnya dua kali sehari sehingga membuatkan badan jemaah haji Malaysia kurang berbau.
“Betul, pengalaman saya sendiri ketika pergi ke Makkah dan Madinah. Jemaah kita tertib, sopan dan tiada bau ketiak ya. Yang lain itu baunya boleh sebabkan kemurungan,” seloroh seorang pengguna.
“Orang Malaysia sudah diajar mandi sehari dua kali. Lepas mandi, mak jerit dekat anak supaya jangan lupa memakai ‘deodorant’. Sampai besar sudah biasa wangi dan bersih. Bukan begitu.” Kata pengguna lain.
Baca juga: Berapa iShowSpeed bayar untuk sebiji burger special di Malaysia? Yang pasti bukan duit USD