Warkah khas buat TPM dan isu 1.5 juta warga Bangladesh

Oleh MALAYSIADATELINE

 Maaf YAB TPM Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebagai marhaen biasa dan melihat kenyataan dari laman media sebuah akhbar tempatan, saya pohon tidak bersetuju dengan kenyataan YAB TPM. Rasional apa YAB TPM mendakwa sedemikian? Saya berbesar hati andai YAB TPM semak persoalan saya.

1. Ada berapa banyak syarikat pembersihan yang menawarkan perkhidmatan cuci longkang dan sebagainya ini yang majoriti pekerja rakyat Malaysia? Apa usaha kerajaan memastikan pekerja tempatan perlu digalakkan masuk ke sektor ini. Apakah benar semua kategori Rakyat Malaysia malu bekerja di sektor ini? Atau kerana dasar pecah dan perintah yang dibudayakan dari tinggalan penjajah? Saya rakyat awam yang hidup bersama masyarakat dan saya lihat majoriti pekerja sektor ini pada pemerhatian saya adalah Rakyat Tempatan. Lalu mana bukti kenyataan YAB TPM yang mempersoalkan belia kita berminat atau tidak?

Ini perkara serius. Jikalau gaji ditawarkan secocok dengan pekerjaan yang dilakukan siapa sahaja tak akan mengira minat. Kerana ini zaman ekonomi mendesak. Namun bagaimana dasar kerajaan hari ini dalam menetapkan gaji minima? Sekadar gaji minima itu sama kepada semua sektor maka akan ada sektor lain yang menjadi pilihan dan sektor lain yang ditinggalkan. Maka itu tidak boleh jadi alasan untuk mempersoal minat rakyat tempatan dan membawa masuk pekerja asing wahai YAB TPM.

Saya pohon YAB TPM untuk melihat pandangan rakyat biasa seperti saya ini untuk bersama kita membina malaysia yang sejahtera.

2. Jikalau benar dakwaan tentang belia kita tidak berminat, bagaimana pula program latihan kemahiran seperti yang disediakan oleh Giat Mara/IKBN/ILP/Kolej Komuniti/institut kemahiran, dan bahkan sekolah teknik volasional yang selama ini menjadi kebanggaan kerajaan kerana menjadi negara yang berjaya mengusahakan program sebegini. Adakah lepasan ini tidak menyumbang kepada industri hingga perlu dibawa masuk warga asing atas alasan memenuhi tuntutan industri? Saya kira YAB TPM mungkin terlepas pandang akan perkara ini kerana sekian lama nya kita memiliki ramai “Belia” yang berminat pun!

Bukan sandaran kepada cuci longkang, bina bangunan sahaja kerana saya yakin 1.5 Juta warga asing yang bakal dibawa masuk bukan untuk dua sektor itu sahaja.

3. Saya pohon YAB TPM yang dipilih YAB PM menggantikan TS Muhyiddin Yassin mantan TPM yang lepas agar lebih bijak dalam memberikan kesimpulan pandangan. Adapun jika benar rakyat tempatan tidak berminat apakah penyelesaiannya dengan membawa masuk warga asing? Bukankah sepatutnya kerajaan perlu berusaha untuk mencetuskan minat itu terhadap warga tempatan. Dan bukankah kemasukan 1.5 juta warga Bangla ini akan memberi implikasi yang lebih rancu? Bukankah menjadi satu keutamaan untuk kita tolak implikasi buruk dengan kemasukan warga asing ini? Perkara ini saya kira YAB TPM tahu bagaimana kerana setiap kali menjelang Pilihanraya, Parti YAB TPM sentiasa ada cara bahkan kaedah dan usaha untuk menarik minat rakyat tempatan kepada ” berminat ” terhadap parti YAB TPM. Bukankah begitu ?

Jadi, saya berharap sangat agar YAB TPM tidak mengambil langkah menghukum rakyat tempatan atas alasan mereka tidak berminat, kerana kita sewajarnya sedar bahawa rakyat tempatan sepatutnya menjadi aset dan anak kepada negara ini, yang menjadi tanggungjawab kepada kerajaan untuk mencetuskan minat mereka terhadap sektor pekerjaan yang sepatutnya diisi perjawatannya oleh mereka dan bukan oleh warga asing.

Saya pohon maaf jika komentar saya terhadap pendapat YAB TPM ini mungkin tidak menyamai hasrat dan pandangan YAB TPM. Namun, hasrat dan harapan murni saya sebagai rakyat biasa dan mungkin merupakan harapan rakyat terbanyak, khususnya belia mengharapkan agar kerajaan lebih prihatin dan peka pada isu ini. Jika kerajaan pada hari ini gagal untuk mendengar luahan dan jerih rakyat seperti golongan belia, maka tunggulah saat PRU ke-14 nanti. Saya yakin bahawa golongan belia Malaysia seramai 9.1 juta ini akan menunjukkan jalan keluar buat kerajaan Barisan Nasional daripada menjadi pemerintah buat sekian kalinya.

Rakyat tempatan khususnya bumiputera perlu menjadi pilihan utama untuk meraih peluang pekerjaan. Kadar 4.7 peratus kadar pengangguran di Sabah sebenarnya pasti akan dapat diselesaikan jika, pihak kerajaan benar-benar jujur di dalam slogan dan manifesto mereka dalam ‘mendahulukan rakyat’.

Wallahualam.

Alias Haji Sani
Timbalan Pengerusi Amanah Negara – Negeri Sabah.