Ramai yang berkata, jika sebuah kedai makan orang Melayu itu didatangi juga oleh orang Cina dan India, sudah pasti ia mempunyai keistimewaannya dan pastinya sedap.
Itulah yang berlaku kepada Warung Kita yang terletak di Kampung Melayu Sungai Buluh. Walaupun terletak di kampung Melayu, Cina dan India juga datang makan ke warong ini.
Ketika penulis mampir ke kedai ini, Cina dan Sikh sedang menikmati juadah di kedai di kampung Melayu ini.
Yang menariknya, makanan di kedai ini tiga jenis sahaja – Nasi Mmanggey (ala Kak Wok), Nasi Berlauk dan Nasi Lemak Ikan Tongkol – tetapi orang ramai terpaksa beratur untuk mengambil makanannya.
Ketika penulis sampai ke warong ini kira-kira jam 9.00 pagi, pengunjung tidak berapa ramai lagi, namun selepas masuk jam 10 sahaja, orang mula beratur di kaunter untuk mendapatkan juadah mereka.
Rupanya ada satu yang istimewa mulai jam 10 pagi iaitu Coconut Shake Icecreem yang sedap dan istimewa mulai dijual pada jam itu.
Yang menarik juga Air Kelapa Baldi. Biasanya kita minum air kelapa dari buahnya terus atau dari dalam gelas tetapi di sini air kelapa dihidangkan dalam baldi.
Pendekata anda akan rasa berbaloi datang ke Warong Kita di Sungai Buluh ini.
Walaupun panas di waktu tengahari tetapi berada di bawah bangsal atap nipah di warong ini anda rasa sejuk tambahan lagi apabila air kelapa mudanya mulai membasahi tekak anda.