Warta Pelan KL2020 untuk ketelusan, kata Khalid Samad

Oleh BORHAN AHMAD

Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 yang diwartakan pada 30 Oktober 2018 adalah bertujuan untuk melaksanakan satu sistem perancangan bandar yang lebih telus dan teratur di dalam memandu pembangunan di Kuala Lumpur, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalis Samad.

Oleh itu, bagi beliau, isu pelanggaran ketetapan Zon Guna Tanah dan ketetapan Intensiti Pembangunan dalam kelulusan permohonan kebenaran perancangan yang berlaku sewaktu pentadbiran dahulu tidak akan dapat diselesaikan dengan tindakan tidak mewartakan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020.

“Kelulusan kebenaran perancangan tersebut telah dibuat mengikut prosedur dan undang-undang yang betul walaupun ianya mungkin keputusan perancangan yang kurang baik,” kata Khalid ketika menjawab soalan ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Khalid, beliau menyedari bahawa ada 2 aliran pemikiran dalam isu pewartaan ini.

Mereka yang tidak menyokong menyatakan bahawa perwartaan mengesahkan atau menghalalkan (legalize and legitimize) pelanggaran-pelanggaran tersebut. Oleh itu, ianya tidak wajar diwartakan dalam keadaan sedia ada.

Golongan yang menyokong pewartaan ini menganggap bahawa segala pelanggaran pada hakikatnya adalah legal and legitimate kerana melalui prosedur dan undang-undang yang sepertimana sepatutnya.
“Pewartaan adalah penting untuk menentukan tiada lagi pelanggaran yang boleh dilakukan terhadap kawasan-kawasan yang masih selari dengan PBRKL2020,” katanya.

Dalam soal pelanggaran yang telah berlaku, katanya, Kementerian Wilayah Persekutuan/DBKL mempunyai 2 pilihan dalam menangani isu ini.

Pilihan pertama adalah, berunding semula dengan pihak pemaju yang terlibat bagi meminda kelulusan yang telah diberikan itu, dengan mengubah kegunaan tanah atau menurunkan intensiti pembangunan.

Ini boleh diamalkan dalam keadaan pihak pemaju bersedia untuk berbincang/berunding.

Manakala pilihan kedua ialah, DBKL juga boleh menimbangkan untuk meminda atau membatalkan kelulusan perancangan tersebut berdasarkan peruntukan seksyen 25 Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982.
“Namun, dalam perlaksanaan kedua dua pilihan ini, DBKL terdedah kepada bayaran pampasan kepada pemaju yang terlibat. Pampasan dalam kes pilihan ke-2 adalah semestinya adalah lebih parah,” katanya.

Kata Khalid, dengan pewartaan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 ini kerajaan akan dapat memastikan kesemua keputusan-keputusan pertimbangan ke atas permohonan Perancangan merupakan keputusan perancangan yang lebih bijaksana selaras dengan prosedur kerja yang telus, bertepatan dengan peruntukan undang-undang serta bersistematik.