Kerajaan negeri Perak digesa menambah keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Rungkup dan mewartakan semula HS Parit Dayong bagi kelangsungan hidup manusia dan kesejahteraan alam.
Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, kedua-dua kawasan HSK jenis paya laut di Daerah Hutan Perak Selatan itu berpotensi diwartakan semula sebagai HSK.
Beliau berkata demikian selepas meninjau kawasan bekas HSK terbabit di Bagan Datuk baru-baru ini bagi mengenal pasti guna tanah semasa.
Turut ditinjau bekas HS Changkat Jong, HS Hutan Melintang, HS Erong, HS Changkat Baharu dan HS Bukit Serigala.
Walau bagaimanapun, kata Meor, lima lokasi bekas HS itu tidak dapat diwartakan semula sebagai HSK kerana keseluruhan kawasan telah dibangunkan sebagai kawasan pertanian berskala ladang iaitu kelapa sawit.
Menurutnya, keluasan HS Rungkup dan HS Parit Dayong semakin merosot akibat kerajaan negeri Perak melakukan penyahwartaan secara berperingkat dalam skala yang besar sekitar tahun 1960-an.
Setakat data yang dikenalpasti, bagi HS Rungkup, sekurang-sekurangnya 3,555 hektar dinyahwartakan sejak 1950 hingga 1967.
Sementara itu, hampir 84 hektar HS Parit Dayong dinyahwartakan pada 28 November 1957 dan 27 September 1990.
Meor berkata, pihak berkuasa negeri perlu segera mengambil langkah menambah keluasan HS Rungkup dan mewartakan semula HS Parit Dayong bagi memelihara kelestarian ekosistem hutan paya bakau daripada terdedah dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Cadangan pewartaan semula HS Rungkup yg dipersetujui oleh Kerajaan Negeri hanya 139.21 hektar berbanding keluasan asal HS Rungkup hampir 4,000 hektar,” tegasnya.
Untuk rekod, Kerajaan Perak meluluskan 139.21 hektar tanah di Bagan Datuk untuk diwartakan sebagai HSK jenis paya laut yang khusus bagi penanaman pokok bakau menerusi Mesyuarat EXCO pada 15 September tahun lalu.
Tunggu apa lagi?
Tinjauan di kesemua bekas HS yang terletak di Hilir Perak terbabit juga disertai Malaysia Dateline.
Pemerhatian kami mendapati sebahagian bekas HS Rungkup di sekitar Beting Beras Basah atau lebih tepat di jambatan sepanjang 500 meter menuju ke jeti masih ditumbuhi pokok bakau minyak (Rhizophora apiculata).
Dalam masa sama, dapat dilihat bakau kurap (Rhizophora mucronata), Bebaru (Hibiscus tiliaceus) dan beberapa spesies lain.

Walau bagaimanapun, kawasan sebelum gerbang Jeti Beting Beras Basah merupakan Ladang Rungkup milik Felcra yang dilihat sedang ditanam kelapa sawit, kelapa dan pisang.
Oleh sebab itu, Meor berpendapat, kawasan sepanjang jambatan menuju ke struktur binaan dipanggil Panca Persada dan Jeti Beting Beras Basah boleh ditanam dengan lebih banyak pokok bakau.
Tegasnya, usaha itu lebih baik sekiranya baki kawasan hutan paya itu diwartakan semula sebagai HSK apatah lagi berkait rapat dengan sejarah permulaan kesultanan Perak iaitu menerusi peristiwa Sultan Perak yang pertama, Sultan Muzaffar Shah 1 menjejakkan kaki ketika mula sampai di bumi Perak.
Lawatan kami di bekas HS Parit Dayong pula menyaksikan pokok Api-Api (Avicennia sp.) mendominasi kawasan paya bakau itu.
Akibat penerokaan pihak tidak bertanggungjawab diikuti bantahan penduduk setempat, terdapat lokasi yang dipenuhi Piai Raya (Acrostichum aureum).
“Pihak berkuasa negeri patut wartakan semula bekas HS Parit Dayong ini. Mahu tunggu apa lagi? Tanam cepat pokok bakau.
“Kita bimbang tanpa pewartaan sebagai HS, ada pihak yang akan mengambil kesempatan, mahu buat projek itu, ini,” tambah Meor lagi.

Baca juga: Misteri ‘chalet garuda’ alun ayat al-Quran dalam hutan di Selangor