Pelakon, Wawa Zainal baru-baru ini dikejarkan ke hospital selepas didapati mengalami serangan gastrik yang teruk sehingga mengakibatkan dirinya tidak mampu berjalan dan ditahan di dalam wad selama satu malam.
Kini pemilik nama sebenar Nur Hawa Zainal Abidin itu diuji sekali lagi apabila anak perempuannya iaitu Hayla Maghfiratul Adzkiyaa pula dikejarkan ke sebuah hospital selepas mengalami sesak nafas.
Pelakon berusia 34 tahun itu bagaimanapun meluahkan kebimbangan apabila Hayla tidak menunjukkan sebarang simptom jangkitan sebelum mengalami sesak nafas seperti tekak berkahak ataupun selesema.
Wawa juga khuatir sekiranya keadaan menimpa kanak-kanak berusia sembilan tahun itu sebenarnya berkaitan dengan penyakit ‘ain’ iaitu gangguan dipercayai berpunca dari pandangan mata disertai rasa iri hati atau dengki.
Oleh yang demikian, Wawa menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya memohon maaf jika kejayaan dalam perniagaan kek batik anaknya itu telah menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak.
“Alhamdulillah, Wawa sudah pulih selepas terkena gastrik teruk kelmarin. Tetapi Hayla pula ganti, kena sesak nafas. Kasihan anak Mama, tiada kahak pun. Tetapi sesak nafas. Dia kata susah nak bernafas. Wawa juga tak pasti.
“Adakah ini yang dinamakan ‘ain’? NauzubillahMinzalik. Wawa mahu minta maaf dan ampun sangat-sangat kalau kehadiran kek batik Hayla membuatkan sesetengah pihak kurang senang,” tulis Wawa menerusi ruangan kapsyen.
Menerusi perkongsian yang sama, Wawa turut meminta cadangan daripada pengikutnya mengenai kaedah untuk menghindari penyakit Ain selain berhenti memuat naik sebarang perkongsian di akaun media sosial miliknya.
Hal ini kerana menurut Wawa, cadangan sedemikian terpaksa ditolak kerana akaun sosial media adalah salah satu medium penting untuk mempromosikan perniagaan miliknya termasuklah jualan kek batik Hayla.
Baca juga: ‘Kalau mayat ditanam di kubur orang Islam, wajib digali dan buang dalam hutan’