Wujudkan badan pemantau produk patuh syariah, gesa Pemuda Amanah

Oleh BORHAN AHMAD

Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional menggesa supaya satu badan pemantau produk dan perkhidmatan yang didakwa sebagai patuh syariah diwujudkan bagi mengelak berlakunya eksploitasi.

Pengarah Hal Ehwal Ekonominya, Syed Marwan Mujahid berkata, langkah tersebut perlu diadakan pada kadar segera memandangkan wujud lambakan produk di pasaran yang dikatakan syarikat terbabit sebagai mematuhi prinsip syarak.

“Apa sebenarnya definisi patuh syariah? Hal itu perlu kerajaan perincikan termasuklah siapa yang bertanggungjawab mengesahkan (produk) mereka patuh syariah? Ada badan pensijilan?” soalnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Mengulas kelahiran Rayani Air yang dikatakan sebagai syarikat penerbangan pertama di negara ini beroperasi berlandaskan patuh syariah, beliau berkata, usaha tersebut termasuk mewajibkan anak kapal beragama Islam untuk menutup aurat adalah dihargai.

Walau bagaimanapun, dalam masa sama, ujarnya, beberapa aspek penting berkaitan operasi Rayani Air perlu diteliti supaya benar-benar berpandukan peruntukan syarak seperti diuar-uarkan.

“Sejauh mana Rayani Air patuh syariah? Apa definisi patuh syariah? Siapa yang mengesahkan mereka patuh syariah? Adakah cukup pramugari pakai tudung, dan tidak hidang arak boleh dipromosikan sebagai patuh syariah?

“Berita terbaru, Datuk Dr Haron Din (Mursyidul Am PAS) nak dilantik sebagai penasihat syariah. Jadi, adakah sebelum ini tiada panel penasihat syariah atau ahli lembaga syariah?” soal calon PhD di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu.

Selain itu, Syed Marwan turut mengingatkan tentang kepentingan mana-mana syarikat sekalipun untuk memastikan aktiviti perniagaan mereka yang didakwa sebagai patuh syariah harus bebas daripada sebarang bentuk riba sama ada dalam mendapatkan modal, pelaburan dan sebagainya.

“Dari sudut pengurusan kewangannya pula, adakah Rayani Air tidak terlibat dengan riba dan menggunakan khidmat bank patuh syariah sepenuhnya?” soalnya lagi.

Rayani Air tampung permintaan pengguna

Mengulas lanjut tentang operasi Rayani Air yang juga akan membuat bacaan doa sebelum memulakan penerbangan, Syed Marwan menyifatkan syarikat itu mengisi permintaan pengguna yang mahukan produk patuh syariah.

“Bagi saya, kalau dari sudut ekonomi, (Rayani Air) cuma ‘basic supply and demand’. Rayani Air mengisi ‘demand’ pengguna yang mahukan produk patuh syariah.Tapi persoalannya, ramai mana yang sebenarnya yang ‘demand’ produk patuh syariah?

“Ada pula pengguna tidak kisah pun patuh syariah atau tidak. Pengguna pada akhirnya mahu jimat dan akan pilih yang mana menawarkan harga termurah di antara produk yang serupa (homogeneous),” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau melihat Rayani Air akan berdepan dengan persaingan harga untuk penerbangan domestik dengan Air Asia, Malindo, dan MAS. Sejauh mana mereka dapat bersaing dengan syarikat penerbangan sedia ada, kita akan sama-sama lihat nanti,” kata Syed Marwan lagi.