Wujudkan Tabung Amanah Pemulihan Sungai dan Sumber Air

Oleh Nasuha Rahman

Mengambil pengajaran insiden pencemaran sungai yang berlaku baru-baru ini di Johor, suatu cadangan bagi mewujudkan Tabung Amanah Pemulihan Sungai dan sumber air telah disuarakan.

Hal itu telah dibangkitkan oleh Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim yang juga merupakan pejuang alam sekitar berkata sudah sampai waktunya Kerajaan Johor mempertimbangkan akan hal berkenaan.

Selain itu beliau berkata, fokus tabung tersebut adalah sebagai dana bantuan bagi mengadakan operasi pencegahan serta pemuliharaan khususnya kepada sungai-sungai dan lain-lain yang menjadi sumber air mentah di negeri ini.

“Situasinya sekarang yang jelas seperti rizab sungai yang rosak teruk akibat penerokaan hutan yang tidak terkawal serta sungai menjadi cetek disebabkan kegiatan lombong yang juga tidak terkawal.

“Sumber air mentah di negeri ini semakin kritikal dan selama ini dikhabarkan terdapat pungutan hasil di bawah Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) sebanyak RM33 juta setahun dari Syarikat Air Johor (SAJ) namun sebarang pemulihan masih bergerak secara perlahan.

“Tabung ini dicadangkan untuk diletakkan di bawah kerajaan negeri agar segala pembangunan untuk pemulihan sungai dan lain-lain sebagai sumber air berjaya dilakukan,” katanya.

Sebelum itu beliau turut menekankan kembali objektif penubuhan BAKAJ sebagai badan yang menguruskan sumber air yang berkesan.

Menurut beliau, keadaan catuan yang berlaku di negeri ini perlu disemak semula bagi mengenal pasti fungsi BAKAJ ini beroperasi dengan baik atau sebaliknya.

Dalam pada masa yang sama beliau turut melontarkan beberapa lagi cadangan agar pihak kerajaan negeri bersedia dengan sebarang kemungkinan cuaca yang berlaku pada masa akan datang.

“Saya turut mencadangkan agar kita (kerajaan) meneroka pengunaan tiub ‘well’ bagi menambah sumber air.

“Di Loji Rawatan Air Lok Heng Kota Tinggi sebelum ini sudah menggunakan cara tersebut namun projek itu menjadi projek gajah putih kerana dikabarkan dari sebilangan banyak tiub well hanya tiga yang mampu beroperasi.

“BAKAJ juga dicadangkan menerokai Sistem Penuaian Air Hujan yang bertujuan untuk mencari sumber bekalan air alternatif yang percuma dan selamat digunakan.”

“Kerajaan juga perlu menyalurkan sedikit peruntukkan kepada NGO bagi aktiviti kesedaran masyarakat sayangi alam sekitar khususnya sungai.

“Selain itu mewujudkan kolaborasi di antara semua jabatan yang terbabit dalam isu alam sekitar yang mana BAKAJ boleh menjadi tulang belakang untuk memfokuskan kepada sumber air mentah,” katanya lagi.

Untuk laporan, di Johor hari ini terdapat beberapa daerah yang terpaksa mencatu sumber air mentah dan antara tempat yang terbabit adalah di Kota Tinggi serta Simpang Renggam.