Prosedur standard operasi (SOP) bagi mendapatkan pensijilan halal di Malaysia adalah ketat dan sangat teliti bagi memastikan produk yang memperolehi sijil halal adalah yang benar-benar ‘halalan tayyiban’ sebelum sampai ke tangan pengguna.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pengguna di luar sana seharusnya meyakini halal Malaysia, yang terbukti sudah dikenali dan diyakini dalam dan luar negara, bagi memastikan barangan dan produk di pasaran benar-benar halalan toyyiban.
Beliau berkata, kini tahap piawaian dan standard pematuhan syariah halal di Malaysia sudah melangkah jauh ke peringkat antarabangsa, diperakui kepakaran dan juga dari segi pengalamannya.
“Saya menekankan dan menyeru produk-produk dan barangan dikeluarkan pengeluar produk muslim tempatan mendapatkan pensijilan halal Jakim ini, bagi memastikan produk dan barang dipasarkan halal dan bersih menepati kehendak syara’.
“Maka seharusnya pengguna di luar sana meyakini halal Malaysia, yang terbukti sudah dikenali dan diyakini dalam dan luar negara bagi memastikan barangan dan produk di pasaran benar-benar halalan toyyiban,” katanya dalam ucapan aluan sempena Majlis Perasmian Halfest Jakim 2019 di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC), Seri Kembangan, semalam.
Mujahid yang juga Naib Presiden AMANAH berkata, beliau amat optimis penganjuran Halfest Jakim 2019 itu merupakan inisiatif terbaik oleh pihak Jakim selaku badan yang bertanggungjawab atas pensijilan halal Malaysia.
“Kehadiran MAIWP pula sebagai penganjur bersama amat tepat pada masanya pada ketika keduanya memainkan peranan besar dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.
“Kerajaan juga perlu menjelaskan konsep sebenar halal menerusi platform Halfest ini dan ia seharusnya perlu difahami dan diterima baik secara menyeluruh oleh masyarakat pelbagai agama bagi mengelakkan persepsi tidak tepat tentang Islam.
“Konsep halal tidak hanya terpakai bagi produk makanan dan minuman sahaja, tetapi juga termasuk penjagaan kesihatan, farmaseutikal, kosmetik, perkhidmatan kewangan, takaful malah logistik dan pelbagai lagi.
“Penggunaan konsep halalan toyyiban amat berkait rapat dengan matlamat pembangunan mampan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ia boleh menjadi faktor penarik bagi bukan Islam untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai konsep halal secara menyeluruh.
“Ini kerana, halal juga bukan hanya mengenai penggunaan logo, malah lebih menyeluruh iaitu meliputi jaminan keselamatan makanan, kualiti, kebersihan, kesopanan, pertimbangan etika dan penjagaan alam sekitar,” katanya lagi.