Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan diangkat menjadi perdana menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15.
Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kasihan kepada Datuk Seri Ismail Sabri kerana kerusi perdana menteri yang dijanjikan untuknya apabila Parlimen dibubar, nampaknya tidak ditepati.
Bahkan, kroni-kroni yang mendukung Ismail selama ini tidak dipilih sebagai calon sekaligus melemahkan peluang beliau untuk menduduki kerusi nombor 1 negara itu.
“Kasihan Ismail Sabri. Dijanji akan terus jadi perdana menteri apabila BN menang.
“Dan dia pun bubar Parlimen. Sekarang kroni-kroninya tidak dipilih sebagai calon.
“Dia jadi lemah. Ramai percaya janji Zahid Hamidi bahawa Ismail akan jadi Perdana Menteri akan hanya tinggal janji.
“Yang akan jadi PM akhirnya ialah Zahid Hamidi,” katanya dalam satu hantaran terbaru di Facebook.
Di kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang tidak disenaraikan pucuk pimpinan Umno, BN telah membuat keputusan bertanding atas tiket Perikatan Nasional.
Selain itu, penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib turut bertanding atas tiket PN di kerusi Maran, sebagai calon Pas.
Ini selepas BN menggugurkan kedua-dua nama itu untuk bertanding dalam PRU15 kali ini.
Di kerusi Parlimen Padang Besar pula, Datuk Zahidi Zainul Abidin dari Umno turut digugurkan nama dari bertanding, namun memilih untuk mempertahankan kerusi itu dengan bertanding atas tiket bebas.
Untuk rekod, Ketua Puteri Umno Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan yang tinggal di Pandan, Kuala Lumpur telah ditempatkan untuk bertanding di Parlimen Padang Besar.
Datuk Seri Noh Omar turut tersenarai antara calon BN yang digugurkan dalam PRU15 namun masih kekal bersama parti itu dan tidak bertanding atas tiket PN mahu pun Bebas.
Baca juga: Banner Hannah Yeoh dirosakkan, polis mohon parti politik kawal penyokong daripada buat provokasi