YB Duyong dedah punca batal tayangan EPL, rela belanja roti canai dari bayar RM10,000

Oleh WAN SITI AMINAH

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem memohon maaf kerana terpaksa membatalkan tayangan skrin besar Liga Perdana Inggeris (EPL) yang dirancang berlangsung semalam.

Hal ini kerana penayangan aksi Liverpool menentang Manchester United itu mungkin melanggar hak siaran langsung yang dimiliki secara ‘mutlak’ oleh sebuah syarikat penyiaran swasta tempatan.

Sekiranya acara itu diteruskan, pihak penganjur perlu membuat bayaran sebanyak RM10,000 kepada syarikat swasta berkenaan jika tidak mahu dikenakan tindakan mahkamah.

Oleh yang demikian, Mohd Noor Helmy mengambil keputusan untuk membatalkan program tersebut dan memuat naik kenyataan mengenainya di akaun Facebook miliknya.

“Dukacita dimaklumkan tayangan skrin besar dibatalkan. Kalau mahu teruskan, kena beli pakej sukan komersial. Harga pakej dalam RM10,000 khabarnya. Kalau tak beli, pegawainya akan datang keluarkan notis untuk tindakan mahkamah.

“Jadinya kami bercadang guna akaun MUTV. Tetapi rupanya tak boleh guna untuk tontonan umum. Kena minta kebenaran syarikat penyiaran swasta itu juga. Ada kedai yang miliki akaun komersial nak bagi guna akaun mereka.

“Tetapi tak boleh juga sebab tak dibenarkan bersiaran di alamat yang berbeza dari tempat berdaftar. Yang ini kami baru tahu. Kerana kami di pihak yang salah, jadinya kami akurlah,” katanya dalam hantaran itu.

Dalam hantaran yang sama, Mohd Noor Helmy mengakui kesilapannya kerana tidak mengetahui bahawa tayangan seperti itu adalah satu kesalahan kerana melanggar hak eksklusif syarikat swasta tersebut.

Jelasnya, pembatalan tayangan skrin di Dataran Duyong itu mulanya mahu diumumkan dalam hantaran pendek namun tekanan diterima dari syarikat swasta berkenaan membuatkannya memuat naik penjelasan panjang lebar.

“Rasa nak maklum gitu-gitu sahaja batal. Tetapi apabila pihak yang telefon ini menekan-nekan, senang kita buka cerita terus. Beritahu kronologi yang sudah diusahakan. Tak perlu cerita belakang. Apa pun memang salah saya tak selidik dahulu.

“Boleh sahaja nak buat dekat kedai mamak. Tetapi saya nak sokong tapak niaga baharu. Tempat baru nak hidup. Nak mudah memang kedai mamak sahaja. Sama juga, kena bayar akhirnya.

“Cuma daripada bayar kepada syarikat penyiaran swasta itu, lagi baik bayarkan roti canai dengan teh tarik untuk satu kedai,” ujarnya menukar rancangan beramah mesra bersama rakyat di sebuah kedai mamak.

Wakil rakyat terbabit akhirnya menunaikan janjinya bertemu dengan rakyat di sebuah kedai mamak sambil melayan tayangan EPL di mana penonton diberikan roti canai percuma bersama air Teh Ais dan Nescafe O Ais secara ‘free-flow’.

Baca juga: Lama tak beraksi atas padang, tahu-tahu Faisal Halim dah ada hobi baru