Seperti yang saya habaq semalam mereka yang percaya bahawa penjenayah Pekan berpotensi terlepas hukuman penjara telah menyandarkan hujah depa kepada doktrin kes duluan atau precedent tiga kes sebelum ini.
Iaitu kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, kes Datuk Harun Idris (kes rasuah yang ada kaitan dengan perlawanan tinju di antara almarhum Mohamad Ali dan Joe Bugner) dan kes Datuk Mokhtar Hashim (kes jenayah bunuh).
Saya setuju dengan hujah Datuk A Kadir Jasin yang menyatakan bagi ketiga-tiga kes tersebut di atas, kesemua tokoh tersebut telah pun menjalani hukuman penjara sebelum timbul isu pengampunan DiRaja.
Oleh itu, berdasarkan hujah tersebut sahaja adalah jelas analogi yang diberikan menggunakan kes-kes tersebut agak tersasar.
Dalam perundangan Islam, analogi yang tersasar seperti itu dipanggil “qiyas ma’al faariq” – قياس مع الفارق.
Ia ibarat misalnya ada orang yang mungkin cuba guna analogi hukum makan nasi lemak bungkus daun pisang yang dianggap haram dengan depa pi kiyaskan dengan hujah haramnya arak Heineken atas alasan, depa habaq, ada warna hijau pada kedua-duanya.
Dalam kes DSAI, ramai dari pengamal undang-undang sendiri merasakan amat tidak sesuai untuk dikiyaskan dengan kes penjenayah Pekan. Bezanya macam langit dan bumi.
Untuk berlaku adil pada DSAI, telah menjadi pengetahuan awam bahawa tidak ada sesen pun wang rakyat yang DSAI ada dituduh di mahkamah bahawa beliau telah sama ada merompak atau merasuah atau menggubah wang haram.
Kedua, ya benar kes DSAI juga mendapat perhatian dunia tetapi bukan kerana faktor DSAI didakwa merompak wang rakyat seperti kes Penjenayah Pekan.
Ya, kes DSAI mendapat perhatian dunia kerana masyarakat antarabangsa merasakan wujud banyak elemen yang agak ‘weird’ dari sudut perundangan dalam pendakwaan kes itu.
Ya, kes penjenayah Pekan juga mendapat perhatian dunia. Ianya kerana semua orang di dunia amat terkejut dan tercengang dan sukar nak percaya melihat jenayah yang ada kaitan dengan makhluk perosak bernama 1MDB dan jenayahnya pula teramat supermega yang mana ianya merentasi sempadan beberapa buah negara termasuk negara Uncle Sam.
Mungkin kes mantan MB Selangor, Khir Toyo, yang disabitkan bersalah dan dihukum penjara atas jenayah rasuah yang melibatkan dana awam (walaupun mungkin tidak 100 peratus sama), agak lebih dekat untuk dianalogikan dengan kes penjenayah Pekan itu.
InsyaAllah esok saya akan tamatkan ulasan isu ini di bahagian ketiga.