YDP YADIM inap rumah tamu sejak Disember 2020, tapi bayar sewa sendiri

Oleh KIM SYAZIE

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) hari ini mengesahkan bahawa Yang Dipertua Yadim, Nasruddin Hassan telah menyewa sebuah rumah tamu untuk diduduki sejak Disember tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh bagaimanapun berkata, Nasrudin yang juga Ahli Jawatankuasa kerja Pas Pusat itu membayar sendiri sewa bulanan rumah tamu tersebut.

Beliau juga menjelaskan, dakwaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Seri Mahfuz Omar bahawa YDP YADIM menginap rumah tamu dengan perabot berjumlah RM22,000 juga adalah tidak benar.

“Berkaitan isu rumah inap rumah tamu, rumah tersebut telah disewa oleh YDP YADIM sejak Disember 2020 dan bayaran sewaan bulanan telah dibayar sendiri oleh beliau.

“Nilai perabot RM22,000 seperti yang ditimbulkan juga adalah tidak benar kerana perabot yang digunakan diambil dari perabot-perabot yang tidak digunakan di YADIM dan kelengkapan asas oleh Lembaran YADIM Sdn. Bhd,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama Tuan Kamarul berkata, perkara itu telah mendapat semakan oleh pihak audit luar bagi laporan kewangan YADIM tahun 2020 dan mendapati bahawa langkah yang diambil oleh YADIM adalah wajar dan mematuhi tatacara yang sewajarnya.

Terdahulu, Mahfuz mendakwa syarikat Lembaran YADIM menyewa sebuah rumah dengan memasukkan perabot RM22,000 dengan tujuan sebagai rumah tetamu.

Beliau menyatakan rasa hairan mengapa rumah tamu diduduki Yang Dipertua YADIM sedangkan beliau sudah ada elaun perumahan dan telah menerima elaun itu.