Umno dilaporkan sedang dalam usaha mengumpul tandatangan Ahli Parlimennya yang berada di dalam Kabinet untuk menarik diri meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum 1 Ogos depan.
Memetik Utusan Malaysia yang memperoleh maklumat dari sumber parti itu, lebih 10 ahli Ahli Parlimen yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno dipanggil menemui Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pertemuan itu dilaporkan turut dihadiri Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan di pejabat Umno.
“Presiden dengan timbalan bercadang mengemukakan satu usul kepada Ahli Majlis Tertinggi supaya Umno tarik sokongan daripada kerajaan dalam masa terdekat.
“Alasan mereka, sudah sampai masa Umno perlu ketuai walaupun ramai berpendapat sekarang bukan masa yang sesuai,” katanya ketika dihubungi Utusan.
Jelas sumber lagi, pucuk pimpinan itu memanggil Ahli-ahli Parlimen dan beberapa AMT secara berperingkat kerana kekangan waktu ketika ini yang tidak boleh mengadakan sebarang mesyuarat.
Bagaimanapun sumber itu mendedahkan ada juga ahli yang tidak bersetuju dengan gerakan tersebut kerana untuk menjayakan usaha berkenaan perlu persetujuan Ahli Parlimen mereka.
“Jadi mereka telah memanggil beberapa MT untuk nyatakan persetujuan. Kalau setuju bermakna mereka perlu tandatangan dengan cadangan itu.
“Ada yang tidak bersetuju sebab nak menjayakan cadangan Majlis Kerja Tertinggi ini adalah Ahli Parlimen. Kalau Ahli Parlimen tidak tarik sokongan dari kerajaan PN, bermakna keputusan MT itu tidak ada kesan,” ujarnya lagi.