Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan penjelasan ringkas Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang tidak mengesahkan sama ada wang RM2.6 bilion benar-benar derma, sekaligus mendorong tanggapan orang ramai, Najib terlibat dengan salah guna kuasa termasuk menerima suapan daripada pihak yang masih dirahsiakan.
Mahfuz berkata, persoalan demi persoalan yang cenderung mengesyaki Najib melakukan kesalahan rasuah timbul apabila penjelasan ringkas Zahid dalam sidang Dewan Rakyat diadakan tidak memperjelaskan siapa penderma dana sebanyak itu.
“Apakah TPM (Timbalan Perdana Menteri) sengaja memberikan penjelasan yang bertujuan untuk Najib terus dipersoalkan rakyat? soal pemimpin Pas itu hari ini.
Mahfuz juga mengucapkan terima kasih kepada Zahid kerana penjelasan yang dibuat kepada Ahli Parlimen.
“Terima kasih kepada TPM di atas penjelasan isu RM2.6 bilion yang terus menambah persoalan tanpa penyelesaian,” ujarnya.
Turut mengaitkan dengan Perhimpunan Agung Umno minggu depan, Mahfuz mempersoalkan kemungkinan tindakan Zahid yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno itu sebagai isyarat kepada perwakilan supaya tidak menjadi mendiamkan diri, sebaliknya menekan Najib untuk berundur daripada jawatan Presiden Umno dan Perdana Menteri.
Sementara itu, Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengenalpasti individu yang menyumbang RM2.6 bilion ringgit sebagai dana politik kepada Najib.
Ketidakhadiran Najib di Parlimen semalam bagi menjawab isu ‘derma’ RM2.6 bilion itu dikatakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said adalah kerana atas nasihat Peguam Negara.
Semalam dalam satu kenyataan, SPRM telah mengadakan pertemuan dengan Pejabat Perdana Menteri bagi menentukan tarikh mengambil keterangan daripada Najib berhubung isu SRC International dan dana RM2.6 bilion.
Pada 12 November lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata SPRM telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri berhubung perkara itu, dan Najib bersetuju untuk kenyataan beliau dirakamkan.