Presiden Umno, Dato Seri Dr Zahid Hamidi dalam satu kenyataannya memohon maaf atas ketelanjuran dalam ucapannya yang mengandungi perumpamaan mengenai malaikat seperti yang tular menerusi sebuah video baru-baru ini.
“Sebagai seorang Muslim dan pemimpin parti yang menjunjung tinggi nilai dan prinsip Islam serta tradisi keilmuan, saya dengan rendah hati memohon ampun pada Allah dan meminta maaf pada semua atas kekhilafan dalam keterlanjuran lafaz kata-kata ini.”
Beliau dalam ucapannya mengaku menyebut perkara tersebut dalam suasana penuh emosi ketika menjelaskan tekanan yang dihadapi sepanjang memegang amanah sebagai Presiden UMNO.
“Namun saya akui, perbandingan tersebut telah mencetuskan kekeliruan dan boleh disalah tafsir,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
“Saya menerima setiap teguran dengan hati terbuka. Saya percaya, nilai seorang pemimpin bukan hanya terletak pada ketepatan tutur katanya tetapi juga pada keikhlasannya untuk menginsafi, memperbaiki diri dan belajar daripada kesilapan,” ujarnya.
Akhir kata darinya, beliau mendoakan agar semua pihak sentiasa dibimbing ALLAH SWT supaya beradab dalam percakapan, terpelihara akidah dan berpaut teguh kepada kebenaran yang hakiki.
baca: zahid hamidi