Zahid panggil semua ketua bahagian Umno bermesyuarat pagi ini, tentukan masa depan Umno

Oleh BORHAN AHMAD

Menjelang sidang akhir Mahkamah Persekutuan mulai esok, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memanggil mesyuarat khas dengan ketua-ketua bahagian Umno ke ibu pejabat parti itu pagi ini.

Menurut sumber, besar kemungkinan Umno akan memaksa pilihan raya umum diadakan segera dengan mengarahkan semua ahli Parlimen mereka menarik sokongan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri.

“Jika semua MP Umno berbuat demikian, PM Ismail tidak ada pilihan selain dari membubarkan Parlimen dan pilihan raya umum perlu diadakan segera,” kata sumber itu.

Menurut sumber itu, jemputan dibuat oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan jam 11.15 malam tadi dan dikategorikan sebagai mustahak.

Pertemuan ini dipanggil ketika beredar juga berita angin yang mengatakan ada usaha untuk memecat Datuk Seri Ismail Sabri sebagai ahli Umno berikutan kegagalan kerajaan beliau menjaga kepentingan Umno.

Mahkamah Persekutuan akan bersidang mulai esok 23 Ogos dan akan tamat pada 26 Ogos ini bagi membuat perbicaraan terakhir terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Ia diteruskan sebagaimana jadual asal walaupun pelbagai cara dibuat oleh Najib dan penyokongnya untuk menangguhkan sidang itu.

Semalam Najib bersumpah laknat di Masjid Kampung Baru bagi menyatakan beliau tidak bersalah atas dakwaan kes SRC International itu.