Zahid tidak boleh didakwa lagi – Peguam Negara

Oleh ROSLAN ZAMAN

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr zahid Hamidi tidak lagi boleh didakwa dengan kes yang sama, itu penegasan yang dibuat oleh peguam negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar.

Beliau berkata, keputusan itu bukan secara suka-suka, sebaliknya dibuat dengan penelitian menyeluruh terhadap siasatan dan penilaian pendakwaan berdasarkan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa kepadanya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan sebarang prosiding.

“(Ahmad Zahid) bebas secara muktamad, mutlak tiada masalah. Jadi, beliau tidak boleh didakwa lagi. Kita menggunakan kuasa di bawah undang-undang apabila melihat enam representasi. Saya bertindak bukan atas suka-suka, ia adalah berdasarkan fakta undang-undang yang dibangkitkan,” katanya

Sebelum ini pada 8 Januari, AGC memutuskan NFA terhadap Presiden UMNO itu bagi 47 pertuduhan berkaitan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Keputusan itu dibuat susulan penelitian terhadap keseluruhan siasatan dan keterangan baharu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 mengumumkan DNAA (melepas tanpa membebaskan) Ahmad Zahid atas pertuduhan itu.