Bekas Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan, Zaini Sulaiman bakal mengetuai Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Kelantan yang secara rasmi ditubuhkan, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Demit yang juga Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Kelantan, Mumtaz Md Nawi memberitahu demikian ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.
Mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri atas kewujudan entiti baharu itu, beliau berkata, kejayaan yang melakar sejarah perundangan Islam di negara ini begitu bermakna selepas sekian lama Kelantan berusaha memartabatkan undang-undang Islam.
“Kelantan merupakan negeri pertama yang menubuhkan jabatan ini secara berasingan demi melancarkan pentadbiran kehakiman dan undang-undang Islam di negeri Kelantan dan negara ini.
“Kendatipun kita telah merdeka hampir 60 tahun dan agama Islam telah diberi satu kuasa tersendiri dalam perlembagaan Malaysia tetapi perkembangan, evolusi status dan struktur serta bidang kuasa perundangan syariah tidak berpadanan dengan sistem undang-undang sivil,” ujarnya dalam kenyataan beliau malam tadi.
Menurut Mumtaz, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri sekian lama menjadi badan pelbagai dimensi yang diletakkan dengan pelbagai tugasan termasuk pendakwaan undang-undang syariah.
“Kini dengan semakin banyak kes dan kompleks yang dikendalikan dengan pelbagai isu baharu maka beban dan konflik kepentingan antara dua entiti induk pendakwaan dan mahkamah menjadi kian ketara yang kadang-kala berupaya menggugat imej dan integriti keadilan dan perundangan Islam itu sendiri,” kata peguam itu.
Pengasingan jabatan semakin relevan
Sehubungan itu, ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Kelantan, inisiatif pengasingan jabatan berkenaan menjadi semakin kritikal dan relevan pada masa ini ekoran kelulusan Kanun Jenayah Syariah (1993) 2015 Kelantan pada Mac lalu.
Menurutnya, satu kod undang-undang yang lebih lengkap dengan mengambil kira pengalaman penggubalan Enakmen Jenayah Syariah 1993 serta rujukan kepada Acheh dan Brunei yang telah memulakan langkah melaksanakan undang-undang jenayah dengan lebih komprehensif berbanding jenayah takzir dalam bidang kuasa di Malaysia.
Mengulas polemik berkenaan pindaan Rang Undang-Undang mengikut Akta 355 Kuasa Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), beliau berkata, peruntukan tersebut perlu dipinda memandangkan tidak lagi sesuai dan sepadan dengan massa dan masa.
“Usul Presiden PAS di Parlimen bagi mewakili parti kerajaan Kelantan untuk meminda bidang kuasa Akta 355 yang bersifat undang-undang bertukar menjadi polemik politik antara parti di Malaysia apabila semua pihak cuba menjadi juara dan jurucakap kepada undang-undang jenayah Islam berbanding untuk membantu kelicinan dan keperluan pentadbiran perundangan Islam,” jelasnya.
Mengakui banyak cabaran terpaksa ditangani bagi perkembangan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Kelantan, Mumtaz berkata, hal itu merupakan sifat undang-undang Islam yang fleksibel, mesra uruf dan illah selagi tidak melanggar usul syarak.
“Semoga dengan usaha yang tampak kecil di mata ramai namun sangat penting dari sudut undang-undang dan pentadbiran kehakiman negara, InsyaAllah akan melebarkan lagi sayap dan keberkesanan keadilan undang-undang jenayah Islam secara tuntas. Mabruk Kelantan! Allahu Akbar!,” ujarnya lagi.