Apabila timbul isu daftar pemilih bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang meragukan, ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mula dipertikaikan.
Ketika zaman serba canggih ini SPR seolah-olah terkebelakang apabila ada lagi isu daftar pemilih seperti nama ‘tamat tempoh’ dan ‘meninggal dunia di dalam’ Daftar Pemilih Tambahan (DPT).
“Hairan ada nama tamat tempoh di daftar pemilih, mengapa perkara ini berlaku aplikasi SPR kan sudah canggih.
“Jika dulu-dulu tidak apa lah kita bangkitkan isu ini, dulu kita pernah bangkitkan nama yang sudah meninggal sepuluh tahun masih ada dalam daftar, sekarang masalah ini sepatutnya tidak berlaku dan tidak dibangkitkan lagi,,” kata Ketua AMANAH Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab.
Katanya, SPR mesti menjawab isu ini dan semak satu persatu nama pemilih yang mereka masukkan di dalam daftar tambahan itu.
Beliau mencadangkan SPR melantik pihak ketiga yang berkecuali untuk diberi akses buat semakan satu persatu khususnya daftar pemilih negeri Johor di mana PRN akan berlangsung dalam masa sebulan ini.

“Ini kelalaian SPR dalam menguruskan daftar pemilih. Daftar pemilih sekarang automatik iaitu daripada JPN tidak mungkin salah kerana daftar berasaskan dalam MyKad.
“SPR jangan berdiam diri, ini tanggungjawab kamu diberi gaji, elaun, amanah bagi memastikan PRN Johor ini adil, telus dan menyakinkan kerana kesilapan dan kelalaian kamu akan menyebabkan sistem demokrasi dan keputusan pilihan raya diragui sekaligus akan menyebabkan pentadbiran negara menjadi pincang.
“Jika tidak PRN Johor ditangguhkan hinggalah daftar pemilih ini benar-benar bersih dan diyakini semua parti-parti politik dan rakyat negeri Johor,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa menjelaskan integriti data Daftar Pemilih Tambahan (DPT) selepas beberapa semakan ke atas nombor kad pengenalan nama pemilih mendapati ia telah “meninggal dunia” dan “tamat tempoh”.
Pengarah Pilihan Raya Pusat PKR Fuziah Salleh berkata, semakan itu dibuat selepas menerima pelbagai aduan daripada unit data parti-parti Pakatan Harapan (PH) berkenaan data pelik sebagai nama pengundi.