Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin Al-Ghari bersetuju agar debat antara beliau dan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin diadakan secara tertutup.
Beliau turut mengesyorkan agar debat itu dilakukan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab gesaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa program perdebatan tersebut tidak perlu diadakan.
Sebaliknya, beliau meminta diskusi itu diadakan secara tertutup sekiranya wujud keperluan mendesak untuk berbuat demikian.
“Ya, Saya setuju. Disyorkan debat dilakukan sempena persidangan Majlis Fatwa Kebangsaan atau di Majlis Keselamatan Negara atau di Bukit Aman secara tertutup,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menafikan beliau menjadikan diskusi ilmiah sebagai medan perdebatan antara Asri dan Zamihan.
Shahidan berkata diskusi itu yang bertajuk ‘Ekstremisme Agama di Malaysia: Satu Diskusi’ mengundang Asri dan Zamihan sebagai anggota panel bagi membincangkan isu berbangkit berkaitan agama secara ilmiah.
Zamihan turut berkata, beliau masih belum menerima surat jemputan diskusi yang akan diadakan pada Rabu ini di Dewan Jabatan Pertahanan Awam, Kuala Lumpur.
“Saya masih belum menerima surat jemputan debat 17 Februari ini. Sambil Shahidan menggunakan kuasa Menteri agar saya dikenakan tindakan tatatertib oleh pegurusan tertinggi Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana membuat kenyataan media selaku penjawat awam,” katanya.
Minggu lalu, Zamihan berkata, beliau akan membongkar segala penyelewengan agama yang menyebabkan Asri dilarang berceramah di Kedah, Selangor dan Johor.