Zamihan mahu Mohd Asri henti sebar fitnah dan ajak berdebat

Oleh MALAYSIADATELINE

Presiden Aswaja Zamihan Mat ZainPresiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin tidak keberatan untuk mengambil tindakan undang-undang sivil dan mengadakan perdebatan dengan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin sekiranya, beliau terus mengaitkan dirinya dengan elemen pro syiah, ekstemis takfir dan sesat.

Zamihan berkata dakwaan Mohd Asri yang menuduh dirinya pro syiah, ekstremis takfir dan sesat merupakan tuduhan yang amat berat yang menjejaskan kredibiliti beliau.

“Wallahi, saya berlepas diri dari perutuduhannya itu. Saya juga tidak ragu-ragu untuk mengambil tindakan undang-undang sivil terhadap beliau. Ini kerana tuduhan mengaitkan saya dengan elemen diatas merupakan pertuduhan yang amat berat, menjejaskan kredibiliti saya sebagai penjawat awam dan menyebabkan saya dipandang serong oleh masyarakat.

“Saya juga bersedia 24 jam untuk berdebat secara ilmiah dengan beliau atas apa-apa topik sekalipun. Beliau boleh memilih tajuk berkaitan, lokasi, peserta dan format. Saya tidak pernah gentar untuk berhujah dengan Mufti seperti anda. jika tewas, anda perlu meletak jawatan sebagai seorang mufti dan berhenti memfitnah saya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Zamihan turut menyebut mengenai kenyataan Mohd Asri yang mendakwa beliau mempengaruhi Majlis Agama Islam Johor (Maij) bagi menghalangnya berceramah di negeri itu r adalah dakwaan yang tidak benar sama sekali.

‘Tuduhannya tidak berasas dan bersifat melulu. Ini kerana Maij adalah pihak berkuasa agama yang berstruktur, telus dan bebas membuat keputusan secara ekslusif tanpa memerlukan campur tangan pihak luar.

“Saya pula tidak pernah berusaha untuk meracuni sesiapapun dalam soal larangan berceramah.

“Tuduhan yang dibuat oleh Mufti Perlis juga dilihat tidak beradab dan tidak senonoh dengan statusnya sebagai seorang Mufti Negeri. Beliau sepatutnya menyelidiki dulu fakta berkaitan, mendapatkan sumber yang sahih serta menganalisis isu berkenaan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Sayangnya, beliau terlalu gopoh dan sering menyerang peribadi seseorang yang tidak sehaluan dengan pemikiran Salafi – Liberalnya itu,” ujarnya lagi.

Zamihan turut mengucapkan taniah kepada Maij kerana memperkasa akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan menyekat 16 penceramah pada Disember lalu, termasuk menyenaraihitamkan Mufti Perlis yang menyebarkan fahaman Salafi Wahhabi di negeri itu.

Malah Zamihan turut mendakwa dirinya sudah lama dijadikan sasaran serangan oleh Mufti itu apabila beliau menerbitkan buku Salafiah Wahabiah Satu Penilaian pada tahun 2001.
“ Dr. Asri mula menyerang dan menuduh saya sebagai pro syiah apabila saya mengkritik aliran wahabi menerusi buku itu. Maka bermulalah episod tuduhannya semenjak itu hinggalah ke saat ini.

“Tohmahan dan umpatannya terhadap saya tak pernah berhenti dari lidahnya walaupun sudah dua kali bergelar Mufti sehinggalah kes ini diheret ke mahkamah dan dapat diselesaikan cara baik.

“Namun, Mufti bermulut celupar ini tidak pernah insaf. Sebaliknya sering merasakan dirinya ‘terlajak pandai’ bahkan sentiasa egois dalam sesuatu perkara.

“Saya terus dituduh sebagai pro syiah, ahbash dan ekstremis takfir (mengkafirkan orang) apabila membicarakan isu semasa akidah, pemikiran dan isu keselamatan,” terangnya.