Mimi Lana akui tak pernah pikat lelaki selain Syafiq Kyle, jatuh cinta di pertemuan pertama

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Mimi Lana baru-baru ini mendedahkan perasaan cintanya terhadap suami yang juga seorang aktor, Syafiq Kyle mula timbul selepas mereka berdua dipasangkan di dalam drama Sekali Aku Jatuh Cinta.

Sedangkan sebelum pertemuan tersebut, Mimi mengakui pernah tidak suka kepada pemilik nama sebenar Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak itu sehingga enggan berada di dalam satu set penggambaran yang sama.

Menurut Mimi lagi, watak yang dilakonkan oleh Syafiq di dalam drama berkenaan juga sepatutnya dimainkan oleh aktor lain namun digantikan kepada suaminya selepas pelakon asal terbabit dikatakan menarik diri.

“Sepatutnya watak Syafiq itu, pelakon lain yang lakonkan. Tetapi pada saat-saar terakhir ditukar kepada suami saya iaitu Syafiq. Saya pada masa itu rasa macam, ‘Alah, kenapa dia ini? Tak naklah berlakon dengan dia’.

“Tetapi apabila sampai di set penggambaran itu pula, saya terus jatuh cinta dengan dia. Rasanya saya yang jatuh cinta dahulu dengan dia. Waktu bangun tidur itu, saya nampak dia dan terus jatuh cinta,” dedah Mimi.

Mengulas lanjut, Mimi pada awalnya menyangka Syafiq adalah seorang yang kelakar ketika mereka terlibat dalam drama bergenre komedi itu hingga membuatkan dirinya merasa terhibur setiap kali melihat wajah suaminya.

Sempat merasa Syafiq memang ditakdirkan untuk hadir di dalam hidupnya ketika itu, Mimi bagaimanapun akui suaminya bukanlah seorang yang kelakar selepas mengenali lelaki terbabit secara lebih mendalam.

“Waktu itu juga saya ingatkan dia kelakar sebabnya kami buat cerita genre komedi. Jadinya hari-hari berada di set penggambaran itu, saya gelak sahaja ketika tengok muka dia. Saya rasa, ‘Oh, kelakarnya lelaki ini’.

“Rasa, ‘Ya Allah, dia ini yang patut ada di dalam hidup aku sebenarnya’. Tetapi apabila saya sudah kenal dengan dia, tiadalah kelakar sangat sebenarnya. Biasa sahaja,” kongsi Mimi lagi dalam pendedahan tersebut.

Dalam perkongsian yang sama, Mimi turut mendedahkan bahawa dirinya sememangnya tidak pernah mencuba memikat mana-mana lelaki sebelum berkenalan dengan Syafiq Kyle.

Walau bagaimanapun, pelakon lelaki berusia 32 tahun itu merupakan jejaka pertama yang membuatkan Mimi atau nama sebenarnya, Mimi Rozaiana Zainal Abidin Nordin mahu mengenali seseorang dengan lebih mendalam.

“Dalam hidup saya pun, tak pernah lagi pikat mana-mana lelaki selain Syafiq,” ujarnya di dalam satu pendedahan dibuat menerusi rancangan ‘Syafiq Kyle dan Mimi Lana Found The Date’ terbitan Astro Ria.

Baca juga: Apa barang duit raya, lelaki beri geran tanah kepada anak cucu