Selepas 10 tahun menunggu zuriat sendiri, akhirnya doa pasangan dari Indonesia dikabulkan namun kebahagiaan tersebut hanya bertahan selama tiga bulan.
Pengguna TikTok, @missdenok berkongsi kisah kehilangan isteri tersayang selepas tiga bulan melahirkan cahaya pertama mereka.
Menurut portal Grip Pop, si suami memaklumkan 10 tahun lamanya dia dan arwah isteri, Ayu Pratiwi diuji tanpa kehadiran cahaya mata.
Namun mereka tidak menjadikan itu sebagai isu malah meneruskan hidup bahagia berdua sahaja.
Segalanya berubah selepas mendapat khabar bahawa isterinya disahkan hamil pada tahun lalu malah mereka sudah memilih nama Arya sebelum bayi dilahirkan lagi.
Bagaimanapun di setiap khabar berita pasti ada dukanya, isteri pengguna TikTok itu dikatakan meninggal dunia tanpa sebab dinyatakan.
“Tepat tiga bulan selepas melahirkan Arya, Allah lebih menyayangi isteri saya,” katanya menerusi hantarannya di TikTok.
Hantaran tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada warganet yang turut bersedih dengan ujian menimpa lelaki itu.
“Semoga masnya (abang) tabah dalam membesarkan anak tercinta. Dan sekiranya ditemukan jodoh mudahan Allah jodohkan dengan orang baik dan sayang si kecil.
“Saya turut bersedih kerana saya juga perlu menunggu 11 tahun untuk hamil. Ya Allah, lindungilah kami dan sihatkanlah serta panjangkan umur kami,” komen warganet.