PM Anwar umum dana PTPK RM50 juta dibenar salur untuk TVET 2.0, ini syaratnya

Oleh MALAYSIADATELINE

Kerajaan membenarkan dana Program Berimpak Tinggi di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) digunakan bagi tujuan memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2.0.

Khabar baik itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjelaskan bahawa penggunaan dana sehingga RM50 juta itu dibenarkan dengan syarat majikan dan pihak industri bekerjasama rapat dengan kerajaan.

Menurutnya, kerjasama melibatkan sektor industri adalah sangat penting dalam memastikan latihan yang diberikan selari dengan keperluan sebenar di pasaran pekerjaan khususnya bagi bidang teknologi baharu.

Pengumuman itu dibuat Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Sambutan Hari TVET Negara yang berlangsung di Dataran Putrajaya, hari ini, lapor Utusan Malaysia.

“Saya tegaskan semula bahawa kerajaan membenarkan sehingga RM50 juta daripada Dana Program Berimpak Tinggi PTPK digunakan untuk TVET 2.0. Bagaimanapun, syaratnya ialah majikan dan pihak industri perlu bekerjasama dengan kerajaan.

“Khususnya melalui Majlis TVET Negara supaya wujud penyelarasan yang lebih berkesan dalam menjayakan agenda ini. Peruntukan itu akan digunakan untuk memperluas program latihan, pendedahan industri serta meningkatkan kualiti pembangunan kemahiran.

“Bagi memastikan tenaga kerja negara memenuhi kehendak pasaran semasa dan masa depan,” kata Anwar memetik laporan Utusan Malaysia mengenai dana PTPK yang diperuntukkan sebanyak RM650 juta dalam Belanjawan 2026 sebelum ini bagi menyokong agenda pembangunan kemahiran dan modal insan negara.

Anwar menekankan bahawa sistem pendidikan negara perlu melakukan anjakan pantas bagi memastikan tenaga kerja tempatan kekal relevan selari perubahan landskap teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), kripto dan sektor digital lain.

Sehubungan dengan itu, kerajaan kini akan memberi tumpuan kepada bidang-bidang baharu dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pendekatan pendidikan serta latihan yang bersifat konvensional.

Ruangan pembaharuan ini turut dibuka kepada institusi tahfiz dan sektor-sektor yang sebelum ini kurang diberikan perhatian supaya lebih ramai anak muda dapat memanfaatkan peluang yang diwujudkan melalui TVET.

“Jika dahulu ramai beranggapan kejayaan hanya boleh dicapai menerusi kolej dan universiti, keadaan itu sudah berubah. TVET kini menawarkan laluan kerjaya yang luas dan berpotensi tinggi seiring perkembangan teknologi yang membuka pelbagai bidang pekerjaan baharu.” Ujarnya.

Baca juga: “PAS nak ‘cerai’ dengan Bersatu?” – Hadi Awang beri bayangan keputusan besar Isnin ini