Hati wanita manakah yang tidak hancur apabila menyedari dirinya dibenci mentua walaupun sudah melayari bahtera rumah tangga selama 17 tahun.
Menamatkan zaman bujang bersama suami atas dasar suka sama suka, wanita bernama Yana itu tidak pernah mendapat restu daripada keluarga suami.
Dilahirkan dengan kulit yang agak gelap, mentua Yana sanggup menyamakannya dengan tahi cicak sekiranya berdiri bersampingan dengan suami iaitu anak mereka.
Sentiasa berdoa agar dirinya diterima dengan ikhlas suatu hari nanti, berikut perkongsian Yana yang masih menderita meskipun sudah berkahwin selama 17 tahun.
“Ibu mentua saya ini duduk di selatan Malaysia. Saya pula dari Utara. Terus terang, saya bukanlah menantu pilihan. Ibu mentua merasakan anaknya terlalu segak dan saya tak layak. Saudara-mara dan adik-beradik kepada ibu mentua menggelarkan saya ‘menantu yang paling tak lawa’.
“Suami ada 5 orang adik beradik lelaki. Kesemua menantu ibu mentua orang luar. Jadi memang putih-putih, cantik-cantik, hidung terletak. Agaknya sepadanlah dengan anak-anak ibu mentua saya ini yang dikatakan ‘ada rupa dan ada pelajaran’. Saya ini hanyalah wanita biasa and berkulit hitam manis.
“Ibu mentua memandang saya dengan penuh rasa hina. Dia kata kalau dipakaikan tanda hitam di dahi, saya seperti orang India. Disulami dengan ketawa kecilnya. Tergamam terkedu saya. Tak tahu nak husnuzon macam mana. Mak mertua hanya berani berkata bila ada saya dan dia sahaja. Kalau ada suami tak pernah ibu mentua nak memerli saya.
“Saya memang jenis diam. Tak menjawab. Setiap kali berjumpa ada sahaja kata-kata perli, cacian dan hinaan akan dilemparkan. Hina sangatkah orang berkulit hitam?? Dan saya rasa suami saya itu bukanlah orang buta. Dia memilih saya sebagai isteri mesti ada kelebihan keindahan kita tersendiri.
“Saya mengadu dengan suami dan dia juga pernah minta ibunya agar menjaga tutur kata dengan alasan saya seorang yang sensitif. Suami cakap tak payah ambil hati Tetapi kita ini perempuan. Kita boleh tahu orang suka atau tidak. Anak menantu lain, yang cantik yang putih itu ada ke bantu jaga ibu? Yang hitam ini jugalah yanh menjaganya bila perlu.
“Saya tak berkira, cuma saya tak faham. Kita solat, berzikir dan pohon keampunan. Tetapi kenapa dalam masa yang sama, kita menyakiti menghina ciptaan Allah? Boleh kata apa yang saya, semua buat nampak salah di sisi ibu mentua. Saya tak tahu nak husnuzon macam mana. Dikatakan macam taik cicak bila saya berada di samping suami. Saya terlalu kurus, lemah lembik. Semuanya dijadikan isu.
“Pada suatu hari, saya demam. Saya dikatakan tak pandai jaga diri. Ya Allah, salahkah saya demam? Saya terlalu penat kerana harus melayannya yang datang 6 bulan di rumah saya. Rupanya saya mengandung and akhirnya gugur (mungkin kerana tertekan). Ibu mentua kalau boleh nak saya sihat selalu agar dapat menjaga cucu dan anaknya dengan baik.
“Saya husnuzon lagi. Mungkin dia nak jadikan saya ibu yang terbaik dan kuat semangat. Itu sahajalah yang selalu saya terapkan dalam diri. Saya tak pernah berdendam. Cuma saya sekarang dalam tempoh berkecil hati selepas keguguran tempoh hari. Mungkin kerana saya terlalu stress ketika itu.
“Ketika ibu mentua duduk di rumah, saya dah rasa seperti orang gaji. Menyediakan makan dan minum setiap pagi, petang, serta malam. Tetapi tidak mengapalah, saya fikir itu sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai menantu melayan ibu mentua. Saya menyantuninya, saya berusaha.
“Namun kadang-kadang gugur juga air mata bila usaha dan penat lelah kita, orang tak hargai walaupun dah 17 tahun. Isu hitam, tak cantik dan tak lawa itu pasti akan timbul setiap kali kami berjumpa. Ya Allah lembutkan hati agar keluarga suamiku dapat menerima aku seadanya.
“Doakan saya agar dipermudahkan, sentiasa berlapang dada dan menganggap ini sebahagian ujian saya. Aamiin. Saya memohon agar kita semua diberi kesedaran agar jangan menghina menilai seseorang dari fizikal. Hitam, pendek, gemuk, kurus dan bongkok semua itu ciptaan Allah Maha Esa.” Kongsi Yana.
Baca juga: Badan makin langsing, Shuhada ditegur lepas pakai baju sendat untuk promosi produk