Datuk usia 70-an sanggup gali sendiri tanah, bina kolam untuk cucu – “Dengan anak garang”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang lelaki warga emas tidak menjadikan usia sebagai penghalang untuk menggali sendiri tanah dengan tujuan membina kolam di kawasan rumahnya sehingga meraih pujian daripada orang ramai.

Mana tidaknya, tindakan warga emas berkenaan bukan sahaja melambangkan kegigihan yang langsung tidak mengenal usia malah turut menjadi simbol kasih sayang seorang datuk kepada cucu kesayangan.

Hal ini berikutan warga emas berusia 70-an itu membina kolam tersebut demi kegembiraan cucunya seperti yang dikongsikan menerusi satu rakaman berdurasi satu minit 54 saat di platform TikTok.

Perakam video yang juga merupakan anak kepada warga emas terbabit menyifatkan bapanya sebagai sosok garang suatu ketika dahulu namun segalanya berubah dengan kehadiran 14 orang cucunya.

“Ayah aku berusia 70-an. Gali lubang sebab nak buatkan kolam untuk cucu dia. Sayang sungguh dekat cucu-cucu dia. Masa aku kecil-kecil dahulu, dia cengey (garang). Ayah aku kalau kerja, memang buat secara terperinci.

“Halus (kerjanya). Kamu semua nak tengok tak kolam dia cantik atau sebaliknya? Akhirnya siap selepas tiga bulan pembinaan,” kata pemilik akaun TikTok Boss MRS dalam keterangan video itu.

Menerusi rakaman berkenaan, dapat dilihat setiap proses pembinaan kolam yang tampak kemas bermula daripada kerja-kerja penggalian tanah sehinggalah selesai di dalam tempoh tiga bulan.

Usaha warga emas itu nampaknya tidak sia-sia apabila kolam tersebut mula digunakan yang mana cucunya kelihatan begitu bersemangat dan gembira ketika bermandi-manda.

Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah berjaya meraih mencecah 300,000 tontonan yang mana rata-rata pengguna TikTok merasa terharu di atas usaha datuk itu membina kolam untuk menggembirakan cucunya.

Ramai pengguna juga memuji hasil kerja warga emas itu selain mengakui bahawa cara bapa menunjukkan kasih sayang terhadap anak dan cucu mereka sememangnya berbeza.

“Memang betul. Ayah kalau dengan cucu, lain macam sayangnya. Kita masa kecil-kecil dahulu kalau mandi parit, balik rumah nanti mesti sudah kena tibai (pukul),” seloroh seorang pengguna.

“Bagusnya hasil kerja pak cik. Semoga dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki dan diberikan kesihatan yang baik. Rindu arwah ayah saya. Sama juga, sangat kreatif dan berseni.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: “Soal hutang ini sulit” – Fazura enggan komen, serah kepada peguam