28 peratus wanita jadi pembuat keputusan di Selangor

Oleh ARIF ATAN

Sebanyak 41 peratus daripada keseluruhan kakitangan dan pegawai dalam kerajaan negeri Selangor sehingga 9 November lalu merupakan pegawai dan kakitangan wanita.

Daripada jumlah tersebut, 28 peratus merupakan pegawai wanita di agensi dan jabatan di bawah pentadbiran SUK Selangor yang terlibat sebagai pembuat keputusan iaitu bagi gred 52 dan ke atas.

“Kerajaan Negeri Selangor pada masa ini tidak memperuntukkan sebarang kuota jantina di bawah mana-mana jabatan, agensi atau portfolio di bawah Kerajaan Negeri Selangor.

“Bagi semua kategori lantikan, pengambilan kakitangan adalah berdasarkan keperluan jabatan dan juga kompetensi mereka,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan daripada Adun Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin.

“Pentadbiran ini sentiasa menilai dan melihat kebolehupayaan, prestasi dan kompetensi seseorang pegawai bagi menjawat jawatan tinggi dan berkepentingan yang melibatkan dasar dan pembuat keputusan.

“Jika seseorang pegawai itu berprestasi tinggi dan mempunyai kepimpinan dan kompetensi
maka pentadbiran ini akan melantik pegawai tersebut tanpa sebarang diskriminasi kepada jantina bagi menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan di jabatan/agensi di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor,” kata Dr Siti Mariah.

Hal tersebut jelasnya turut merangkumi Pentadbiran Awam Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun Negeri.

“Berdasarkan data perjawatan semasa terdapat dua Pegawai Daerah wanita dan seorang Yang Dipertua wanita selain jawatan sebagai Ketua Bahagian di Jabatan/Agensi Negeri,” tambahnya.