Seorang bakal pengantin meluahkan rasa kecewa dengan sikap pakcik dan makciknya yang sanggup mengutuk keluarganya hanya kerana mahu mengadakan majlis nikah kecil-kecilan.
Individu yang menggunakan nama Anonymous Participant dalam satu kumpulan Facebook perkahwinan berkata, adakah ia satu penghinaan untuk mengadakan majlis nikah sahaja tanpa membabitkan kenduri besar-besaran.
Katanya, ibu dan bapa sudah pun setuju malah memberi restu dengan majlis kecil-kecilan, tetapi lain pula sikap makcik dan pakciknya yang membuatkan dia bertambah kecewa.
“Hina sangat ke nikah sahaja, tak buat kenduri besar. Tapi ada belanja makan untuk mana yang hadir masa nikah).
“Makcik pakcik duk menyalahkan dan mengutuk mak ayah sebab tak ajar anak dia. Tapi kami dah bincang dengan mak ayah.
“Mak ayah pun seronok kami tak membazir duit. Mereka pun pesan selepas kahwin lagi banyak nak guna duit,” kongsinya.
Tambah individu itu lagi, dia dan pasangan mempunyai impian untuk membeli rumah sendiri dan kerana itu mereka memilih untuk menjimatkan kos
“Tapi bila pakcik makcik dalam keluarga sendiri kata begini, saya jadi down. Hina sangat ke? Bukan ke apa yang Islam ajar lagi mudah dari nak ikut adat adat semua tu?,” luahnya lagi.
Perkongsiannya mendapat perhatian ramai yang tampil memberi semangat dan dorongan supaya tidak mengambil pusing kata-kata orang lain.
Mereka juga memberi galakan supaya meneruskan sahaja perkahwinan tertutup itu kerana pada akhirnya perbelanjaan perkahwinan ditanggung individu dan pasangan, dan bukannya orang luar.
Baca juga: Kieda Crepe diminta berhenti buli pelanggan, guna peguam bila produk kena ‘complain’