Lima remaja perempuan yang terlibat dalam kes buli remaja perempuan Allahyarham Zara Qairina Mahathir tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu kira-kira jam 8.25 pagi tadi.
Kenderaan membawa remaja berkait kes buli Zara Qairina, tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu dengan diiringi kenderaan polis.
Mereka yang bersekolah sama dengan allahyarham Zara itu akan dituduh mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan iaitu berhubung kesalahan menggunakan atau membuat apa-apa perkataan atau komunikasi yang mengancam, kesat atau menghina.
Memetik BH Online, peguam mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina diketuai Hamid Ismail masuk ke bilik bicara Mahkamah Kanak-Kanak.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah meneliti kertas siasatan kes kematian pelajar itu yang dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan memutuskan untuk menuduh beberapa suspek berdasarkan keterangan yang ada.
AGC turut memaklumkan prosiding inkues masih perlu dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian Zara Qairina,13.