9 syarat untuk bubar Parlimen dan adakan pilihan raya, cadang Prof Agus

Oleh KIM SYAZIE

Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff mencadangkan sembilan syarat jika Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ingin membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihanraya.

Beliau berkata, kerajaan perlu memulakan langkah pertama dengan mempercepatkan vaksinasi supaya rakyat boleh mengundi dengan selamat dan mencapai imuniti kelompok pada hujung Oktober tahun ini.

Beliau juga menyarankan agar tempoh mengundi dipanjangkan sehingga dua atau tiga hari.

“Laksanakan SOP ketat seperti penjarakan sosial dan pakai pelitup muka. Keempat, larang kempen rumah ke rumah, kecuali di kawasan pedalaman.

“Kelima, SOP ketat untuk ceramah perdana. Keenam, kempen diadakan melalui televisyen atau media sosial sahaja. Ketujuh, bagi ‘airtime’ yang adil kepada semua parti yang bertanding untuk memperkenalkan manifesto masing-masing.

“Kelapan, sesuaikan proses mengundi dengan normal baharu, iaitu benarkan undi pos dan undi atas talian biometrik bagi mengurangkan pengundi beratur,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.

Yang terakhir, Mohammad Agus mencadangkan agar diadakan program debat di televisyen bagi setiap ketua parti bertanding seperti debat pilihanraya Britain, atau debat Presiden Amerika dan Indonesia.

Baginya, sudah sampai masa untuk rakyat Malaysia menilai pemimpin terbaik untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

“Justeru sudah sampainya masanya juga kita membuat pembaharuan dalam sistem elektoral kita,” katanya lagi