Pelawak, Along Cham memaklumkan bahawa tindakan pasangannya, Afreena Suhaimi berhubung dengan bekas isterinya iaitu Zila Seeron telah menjadi salah satu punca terjatuhnya lafaz taklik terhadap wanita berkenaan.
Perkara ini diakui Along ketika memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Sepang hari ini berhubung tiga tindakan yang didakwa dilakukan Afreena dan menjadi punca terjatuhnya lafaz taklik pada Julai tahun lalu.
Menurut pemilik nama sebenar Muhammad Nizamudin Ahmad itu, isterinya didakwa melakukan tiga perkara di rumahnya di Cyberjaya sehingga mengakibatkan lafaz taklik berkenaan terjatuh, lapor Berita Harian.
“Amarannya adalah jika awak berhubung dengan bekas isteri saya dan kongsi lokasi sekolah anak. Maka jatuh talak satu. Dia (isteri) telah kongsikan lokasi sekolah anak saya. Dia (Afreena) hubungi bekas isteri.
“Dia mencari Zila dengan alasan naluri sebagai seorang ibu. Saya sudah beri amaran banyak kali, tetapi dia tetap mencari (Zila). Sedangkan anak kandung sendiri dia tidak mengaku anak.
“Saya difahamkan mereka sudah berhubung sejak Jun 2024. Tidak tahu apa niat dia, berkemungkinan sebagai pemberi maklumat,” katanya dihadapan Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Muhamad Nazri Basrawi.
Along berkata sedemikian ketika sesi soal jawab bersama peguam syarie yang mewakilinya, Muhammad Akmal Amzan pada prosiding kedua pengesahan lafaz cerai taklik membabitkan dirinya dan Afreena.
Selebriti berusia 42 tahun itu juga mendakwa dua perkara lain yang menjadi punca gugur lafaz taklik adalah Afreena berlaku curang dan wanita berkenaan turut bertindak membelakangkan dirinya dalam apa sahaja urusan.
“Curang itu adalah dengan menipu saya. Saya ada bukti dia curang. Dia juga selalu buat keputusan sendiri tanpa pengetahuan saya. Semua perkara terbabit berlaku dan saya ada bukti.
“Saya tidak mahu kemukakan bukti awal sebab nanti defendan (Afreena) serang mereka (pemberi bukti),” jelas Along yang turut mengemukan bukti rakaman audio mendakwa Afreena sedar bahawa mereka sudah rujuk.
Difahamkan, rakaman audio berkenaan mengandungi pengakuan Afreena bahawa dirinya sudah rujuk bersama Along dengan memaklumkan kepada sahabat baik dan orang sekelilingnya mengenai perkara itu.
Mahkamah Syariah Rendah Sepang kemudian menetapkan lusa sebagai tarikh untuk prosiding tuntutan pengesahan lafaz cerai.
Terdahulu, Afreena mendedahkan rumah tangganya yang dibina bersama Along mula bermasalah selepas beberapa bulan berkahwin selain mendakwa pernah berlaku lafaz cerai di luar Mahkamah Syariah, pada Julai tahun lalu.
Sekadar info, perkahwinan Along bersama Afreena pada 4 April tahun lalu adalah pernikahan kedua untuk pelawak terbabit selepas bercerai dengan Zila yang merupakan bekas peserta Akademi Fantasia pada September 2016.
Hasil perkongsian hidup bersama Zila, Along dikurniakan dengan kehadiran seorang cahaya mata lelaki iaitu Ahmad Daniel, 14, yang kini berada di bawah jagaannya.
Baca juga: ‘Kalau terpegang pun tak haram’ – Enot nafi dakwaan hubungan sejenis