Ketika artikel ini ditulis, media perdana sudah mula menyebut tentang perletakan jawatan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin. Walaupun ia belum rasmi, tetapi rata-rata mengatakan ianya sesuatu yang sudah pasti dan tidak dapat dielakkan.
Sejak bulan Februari 2020, politik negara terumbang ambing setelah TS Mahiaddin bertindak membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan dan kemudian menyingkirkan pengasas dan pengerusinya, Tun Mahathir, untuk menjadi Perdana Menteri.
Bagaimanapun, gabungan baru yang dibentuk oleh TS Mahiaddin tidak stabil dan sering ditekan oleh rakan sekutunya dalam gabungan baru itu iaitu Umno. Ini menjadikan kerajaan pimpinan beliau tidak kukuh dan stabil, yang akhirnya menjejaskan tumpuan pentadbiran beliau bagi menangani masalah pandemik dan kehancuran ekonomi.
Ini menyebabkan kemarahan rakyat yang terpaksa menanggung beban kegagalan tersebut dan akhirnya kerajaan pimpinan beliau berhadapan dengan kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli parlimen. TS Mahiaddin tiada pilihan selain meletakkan jawatan.
Apakah kerajaan yang akan ditubuhkan selepas ini akan dapat memenuhi titah tuanku Duli Yang Di Pertuan Agong seperti yang termaktub di dalam Kenyatan Media Istana bertarikh 16hb Jun 2021 berbunyi:
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan pandangan bahawa perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.”
Jelas sekali, negara sangat mendambakan kestabilan politik dan kerajaan yang kukuh untuk mengemudi cabaran baru politik negara. Kegagalan TS Mahiadin mewujudkan kestabilan politik membawa kepada keruntuhan kerajaan pimpinannya.
Hanya ada satu pilihan sahaja untuk memastikan hasrat YDPA supaya wujud kestabilan politik itu terlaksana iaitu penubuhan kerajaan yang inklusif melibat semua parti-parti politik utama di negara kita.
Semua pihak perlu diberi ruang untuk memainkan peranan dan tanggungjawab membawa negara keluar dari kedukaan yang besar ini. Pada masa yang sama, retorik pertembungan dan perseteruan di kalangan parti-parti politik juga perlu dikendurkan.
Kita berada dalam satu era di mana penyisihan politik atas alasan apa sekalipun pun hanya akan memberi natijah yang buruk terhadap pembangunan dan kesejahteraan negara. Budaya politik penyisihan perlu segera diganti dengan budaya politik inklusif.
Kebanyakan krisis-krisis politik yang agak trajis berlaku adalah akibat proses penyisihan politik secara sistematik dan akumulatif. Kelompok yang tersisih akan akhirnya mengambil tindakbalas dan lama-kelamaan ia menjadi pertembungan dan permusuhan politik yang berpanjangan.
Perebutan jawatan dalam politik biasanya disebut sebagai punca perpecahan. Hakikatnya, perebutan jawatan tidak akan membawa perpecahan sekiranya pihak yang kalah tidak disisihkan.
Jadi perpecahan, pertembungan, dan pertelagahan di kalangan orang politik sebenarnya berpunca dari budaya politik penyisihan. Contohnya ialah, ahli-ahli parlimen dari parti pemerintah mendapat peruntukan pembangunan manakala ahli-ahli parlimen dari pari pembangkang tiada akses terhadap dana dan bantuan. Ini adalah contoh jelas politik penyisihan yang sudah berbudaya dan berakar umbi di negara kita.
Sampai kepada satu peringkat, kekuatan kelompok-kelompok yang bertelagah ini akhirnya menjadi agak seimbang dan pada masa itu keseimbangan dan kestabilan politik semakin sukar diwujudkan di kalangan kelompok-kelompok ini. Inilah yang berlaku hari ini.
Kelompok-kelompok yang berada di pentas politik negara tidak lagi mempunyai dominasi politik yang eksklusif seperti sebelumnya. Dalam keadaan seperti ini, tiada lagi kuasa politik dominan yang boleh bertindak secara unilateral.
Ini membawa kepada dimensi politik baru di negara kita iaitu keperluan kepada budaya politik yang lebih inklusif. Negara tidak boleh kembali kepada politik hegemoni atau dominasi seperti sebelumnya semata-mata untuk mewujudkan kestabilan politik kerana era itu sudah berlalu dan tidak lagi menepati citra politik baru.
Perkara ini agak lebih mudah dan pantas disedari oleh DS Anwar Ibrahim apabila beliau sejak akhir-akhir ini banyak mengeluarkan pandangan-pandangan politik yang menjurus kepada rekonsiliasi di kalangan kelompok-kelompok politik yang bertelagah di negara kita.
Di dalam Kenyataan Media yang ditandatangani oleh beliau bersama pimpinan Pakatan Harapan bertyarikh 13hb Ogos 2021, tertulis begini:
“Demi masa depan rakyat dan negara, semua pihak perlu bersama di meja rundingan sekarang untuk membentuk sebuah kerajaan yang inklusif, adil dan progresif di mana setiap parti dilayani secara adil”.
Kerajaan yang inklusif sememangnya merupakan jawapan yang jelas terhadap permasalahan politik negara ini.
Bagi merealisasikan hasrat ini, retorik permusuhan dan kebencian tidak seharusnya dibiarkan berterusan di dalam domain politik negara. Laungan-laungan politik penyisihan seperti, ‘No Anwar, No DAP’, ‘Demi Politik Melayu-Islam’, dan seumpamanya tidak wajar dijadikan slogan politik. Ianya tidak menggambarkan pemikiran politik inklusif yang sangat diperlukan oleh negara dan rakyat pada masa ini.
Penulis adalah aktivis politik yang aktif dalam media sosial Facebook.