Anak sulung usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Ammar Ahyan sering tampil dalam sesi siaran langsung di platform TikTok sejak kebelakangan ini untuk membantu bapanya mempromosikan produk jualannya.
Sesi siaran langsung tersebut sering dimeriahkan dengan usikan Aliff terhadap Ammar berikutan remaja berusia 17 tahun terbabit masih tampak malu-malu untuk tampil ke hadapan namun tetap berusaha membantu bapanya.
Aliff baru-baru ini kembali sakan mengusik anaknya ketika sedang sibuk menjual jeruk mangga keluarannya dengan menyatakan hasratnya untuk mencari menantu sewaktu bersiaran langsung.
Usahawan berusia 38 tahun itu secara berseloroh mahu memilih menantu untuk Ammar Ahyan dalam kalangan penonton yang meninggalkan komen ‘nak’ menerusi sesi jualan secara atas talian tersebut.
Menurut Aliff lagi, mereka yang terpilih sebagai menantu bakal menerima hantaran sebanyak RM50,000, kediaman dan kenderaan mewah serta barangan kemas pemberian usahawan terbabit.
“Ada tak orang yang nak jadi menantu saya? Cuba komen. Kalau nak, jomlah kita berkeluarga. Ada tak yang nak anak saya ini. Abah sambil jual jeruk mangga ini, boleh juga cari menantu. Tetapi dengan syarat, kena pandai jual jeruk.
“Abah nak cari dalam ‘live’ (siaran langsung). Sesiapa yang nak, boleh komen. Anak saya ada kereta Mercedes. Saya yang belikan. Siapa nak jadi menantu saya? Tengok itu, ramai orang komen nak.
“Hantaran saya akan berikan sebanyak RM50,000, barang kemas 12 serba berdiri, sebuah rumah banglo dan kereta Mercedes juga disediakan. Jika mahu, tinggalkan komen ‘nak’,” kata Aliff Syukri mengusik anaknya.
Ammar bagaimanapun menolak permintaan bapanya itu untuk mencari calon isteri menggunakan cara luar biasa dengan membuat pilihan di dalam kalangan penonton siaran langsung.
Remaja terbabit bagaimanapun lebih selesa berkenalan dengan calon isteri dalam suasana biasa selain bertemu jodoh dengan individu dikenali seperti rakan sekolah mahupun ketika menyambung pelajaran di universiti,
“Janganlah Abah, sekarang ini belum pernah lagi orang cakap berjumpa jodoh selepas dipilih oleh bapa dalam kalangan penonton ‘live’. Tak mahulah Abah. Ammar kalau nak jumpa dengan calon isteri biarlah di universiti.
“Bercinta di sekolah boleh juga. Cara ini macam pelik pula. Ammar tak nak,” tegas remaja itu dalam sedutan siaran langsung yang sempat dirakamkan sebelum dimuat naik semula oleh pengguna TikTok di platform tersebut.
Baca juga: Budak lepasan SPM luah teringin nak sambung belajar, tapi mak ayah pula tak bagi