Lengkap vaksin boleh rentas negeri mulai esok

Oleh ARIF ATAN

Individu lengkap vaksin dibenarkan untuk melakukan pergerakan rentas negeri bermula esok.

Kerajaan bersetuju memberi kebenaran itu dengan pergerakan boleh dilakukan tanpa memerlukan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kebenaran pergerakan rentas negeri itu susulan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.

Menurutnya, dengan keputusan ini rakyat bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong, dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, pemimpin Umno itu mengingatkan agar rakyat tidak bersikap sambil lewa terhadap jangkitan Covid-19 dengan kelonggaran yang diberikan.

Ahli Parlimen Bera berkenaan berkata, penularan wabak Covid-19 ini tidak mustahil akan kembali meningkat jika hal berkaitan jangkitan wabak itu diambil mudah.

“Ini penting dalam usaha membantu negara dalam pembukaan semula ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat atau #ReopeningSafely.

“Anda kini adalah barisan hadapan yang akan melindungi keluarga dan komuniti daripada jangkitan virus Covid-19,” katanya.

Dalam masa sama, Ismail berkata, walaupun tiada lagi sekatan jalan raya (SJR) untuk mengawal pergerakan rentas negeri, tetapi SJR bagi mengawal jenayah dan keselamatan masih diteruskan.

“Pemeriksaan secara rawak akan tetap dilaksanakan oleh pihak berkuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Saya juga ingin menegaskan, kebenaran pergerakan rentas negeri ini tidak terpakai ke atas kawasan atau lokaliti yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya lagi.

Untuk rekod, larangan rentas negeri di seluruh negara berkuat kuasa sejak 10 Mei lalu.

LANJUT MENYUSUL