Covid-19: Terus susut kepada 7,373 kes hari ini

Oleh ARIF ATAN

Kes baharu Covid-19 terus susut dengan 7,373 kes hari ini, berbanding semalam, 8,743 kes.

Jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti virus berbahaya itu sekarang sebanyak 2,339,594 kes.

Daripada jumlah kes hari ini sebanyak 7,240 kes berada dalam kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala dan bergejala ringan.

Sementara itu, terdapat 133 kes (1.8 peratus) adalah pesakit dalam kategori tiga hingga lima.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, juga berkata terdapat 702 kes Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 293 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan sehingga jam 12 tengah hari ini terdapat 10,595 kes sembuh yang menjadikan jumlah pesakit pulih sepenuhnya, 2,195,669 kes.

Menurutnya, lapan kluster baharu dikenalpasti hari ini membabitkan lima dalam kalangan komuniti manakala masing-masing satu kluster di tempat kerja, kumpulan berisiko tinggi dan keagamaan.

Sehingga hari ini, terdapat 810 kluster yang masih aktif.