Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan pihak musuh Islam mencari kesalahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam terutama agamawan untuk diperbesar menjadi berita utama atau perdana.
Menurutnya, antara pendekatan yang diambil oleh musuh Islam ialah menimbulkan keraguan dan salah faham terhadap Islam.
Hal itu dilakukan, jelasnya, dengan menyasarkan hukum-hukum Islam yang tertentu untuk diragukan dengan sengaja atau secara jahil tanpa menyatakan proses pelaksanaan dan hikmah hukum tersebut.
“Sebagai contoh, keraguan terhadap hukum pembahagian pusaka yang berbeza-beza antara lelaki dan wanita, hukum poligami, hukum dalam jenayah Islam, hukum halal dan haram dan hak wanita dalam aspek keperluan hidup dan moral.
“Apa yang mereka lakukan kononnya atas nama kesaksamaan, berbeza dengan keadilan yang meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sebenar.
“Semua isu tersebut dikemukakan secara provokasi atau membangkitkan persoalan yang merosakkan keimanan kepada ilmu Allah SWT dan sifat-Nya yang Maha Adil, lagi Maha Bijaksana,” katanya menerusi Minda Presiden Pas yang dimuatnaik di Facebook rasminya hari ini.
Bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu berkata, musuh Islam juga sengaja membangkitkan persoalan yang tidak mampu dicapai oleh akal manusia dalam tempoh masa yang pantas atau secara spontan.
“Pendekatan yang diambil oleh musuh Islam juga dengan mencari kesalahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam, khususnya dalam kalangan agamawan untuk dibesar-besarkan menjadi berita utama atau perdana.
“Akan tetapi, sengaja disembunyikan kesalahan pihak lain yang berlipat kali ganda salah, atau dianggap tidak salah mengikut akal mereka. Sedangkan perkara itu memang salah kepada penganut Islam,” kata Hadi.
Dalam masa sama, Duta Khas ke Timur Tengah itu menegaskan media musuh Islam juga melaporkan berita secara sensasi bagi menggemparkan pemikiran manusia.
“Berita itu sama ada berita benar yang tidak ditangani dengan adil sehingga melampau menjadi fitnah yang merosakkan ataupun berita salah yang fitnahnya lebih besar,” sembang Hadi lagi.