Esok bicara kes saman Mohamad Sabu terhadap pemimpin Pas dan Harakah

Oleh BORHAN AHMAD

Perbicaraan saman Presiden AMANAH, Mohamad Sabu terhadap kolumnis dan ketua pengarang Harakah berhubung dakwaan menerbitkan artikel berunsur fitnah di laman web portal Harakahdaily akan berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok.

Mohamad Sabu yang juga bekas Menteri Pertahanan mendakwa kenyataan fitnah itu diterbitkan menerusi artikel bertajuk “Husam: PAN Parti Diktator” pada 14 September tahun 2020 lalu yang menjatuhkan maruah dan mengaibkan dirinya.

Beliau yang bertindak selaku plaintif memfailkan saman itu melalui firma guaman Tetuan Amin Amirul & Partners pada 28 Oktober 2020 lalu dengan menamakan kolumnis yang juga Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir; Ketua Pengarang, Wan Nordin Wan Yaacob; dan syarikat penerbit akhbar Harakah Galeri Media Serbanika Sdn Bhd sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Sebelum ini, pada September lepas, Datuk Husam Musa dalam tulisannya telah menafikan laporan Harakah itu.

Januari lepas telah berlaku pengurusan terhadap kes ini di mahkamah.

Mohamad Sabu yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, kenyataan fitnah itu antara lain bermaksud beliau seorang diktator, menyalahgunakan jawatan dan kedudukan sebagai presiden parti serta hanya mengikut arahan dan telunjuk DAP.

Menurutnya, kata-kata fitnah itu ditulis oleh Roslan yang menjadi sumber kepada defendan kedua (Wan Nordin) untuk melapor dan membenarkan ia diterbitkan di laman web Harakahdaily.

Katanya, kata-kata fitnah itu hanya tuduhan melulu berniat jahat terhadapnya yang bertujuan menjatuhkan dan merendahkan maruah serta kredibiliti beliau yang memiliki imej dan integriti yang baik.

Sebelum ini, wartawan kanan Harakah, Aziz Muda telah membuat permohonan maaf kepada Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Aziz telah mengaku membuat fitnah itu namun berkata beliau tidak berniat berbuat demikian kepada Mujahid manakala Harakah dan Harakahdaily telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf itu baru-baru ini.

Aziz Muda mengemukakan permohonan maaf secara bertulis kepada Mujahid susulan isu usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Sajat, yang didakwa memakai telekung dan berpakaian seperti wanita ketika menunaikan umrah tahun lalu.

Aziz berkata, dia tidak mempunyai sebarang niat jahat untuk menjatuhkan maruah, mengaibkan ataupun memfitnah Mujahid dengan penerbitan artikel bertajuk “Sajat: Mujahid dan K’jaan PH patut dipersalahkan” dan “Keterlanjuran Sajat kesilapan Mujahid dan kerajaan PH”.

Aziz bahkan mengakui tahu usaha-usaha Mujahid yang juga Naib Presiden AMANAH itu dalam bidang dakwah dan dalam memartabatkan Islam selain mengenalinya secara peribadi.

Walau bagaimanapun, dia menyedari kandungan dua artikelnya itu mungkin boleh membawa maksud dan pemahaman yang berbeza kepada para pembaca terutama kepada Dr Mujahid.