Warganet nasihat ‘MB Sempoi’ jaga makan, kerap bersenam

Oleh ARIF ATAN

Warganet dilihat menyindir Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang nampaknya sukar untuk duduk bersila ketika menjamah nasi bungkus masak lemak.

Reaksi netizen itu selepas Setiausaha Politiknya, Afnan Hamimi Taib Azamudden memuat naik gambar pemimpin Pas tersebut duduk berlunjur di hadapan beberapa bungkusan makanan dan minuman menerusi Facebook dengan tanda pagar #MBSEMPOI.

“Makan nasik bungkus kuah masak lemak sambil duduk bersila. Kepuasannya memang tak dapat diungkap dengan kata-kata.

“Tengok cara YAB Muhammad Sanusi Md Nor tuang kuah tu, perut pun rasa lapaq, aihh,” kata Afnan semalam yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda Pas itu diakhiri emoji ketawa.

Walau bagaimanapun, rata-rata warganet mendapati Sanusi yang berumur 47 tahun itu seperti tidak mampu untuk betul-betul duduk bersila.

“Tak lepas duduk bersila tu,” kata Khairulfahmi Matsom manakala Azhar Ibrahim dalam loghat Kedah menulis, “Nampak berisi MB hampa noo…”.

Dalam masa sama, ada juga yang mengalami berat badan berlebihan tampil mengaku seangkatan dengan Sanusi.

“Yang sama geng saja boleh duduk makan macam ni. Alhamdulillah, saya geng MB,” kata Anuar Rizal manakala
Mohd Solahuddin pula berkata, “Tengok ke hunjoq pun tau dah, sengkak perot.”

Tidak kurang juga, ramai berpendapat tanda-tanda Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ternyata begitu hampir.

“Tanda-tanda kecil nak PRU,” tulis Amrulisham Shamsudin yang juga senada dengan Akmal Aris, “Maknanya dah dekat PRU.”

Bahkan, pengguna Facebook, Samsuri Sulaiman juga menyatakan hal yang sama.

“Selalunya aksi macam ini akan kembali meriah masa ada pilihan raya,” ujarnya.

Sehubungan itu, ada yang menasihatkan Sanusi untuk istiqomah mengamalkan pemakanan sihat seperti yang dianjurkan Islam selain berdisiplin untuk bersenam.

“Jaga MB. Perut koi mai kot depan… kena kerap kayuh gerek (basikal),” kata Azman Baharum.

Bahkan, hantaran Afnan itu turut menarik perhatian laman troll politik yang berpengaruh, Tentera Troll Kebangsaan Malaysia (TTKM).

“Nak bersila pun susah tu, tanda kena mula jaga diet dan bersenam,” kata TTKM yang kemudiannya meraih hampir 500 komentar hanya selepas lima jam dikongsi.