Usaha Sarawak mengembalikan hak-hak yang telah terhakis adalah langkah ke arah memperkukuhkan lagi jati diri rakyat di negeri ini sebagai sebahagian daripada Keluarga Malaysia yang besar.
Bagaimanapun, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, usaha berkenaan bukanlah semasa-mata untuk kepentingan tetapi ia dapat melihat perbezaan-perbezaan yang ada selain merancangkan dasar-dasar pembangunan yang sesuai di Sabah dan Sarawak secara amnya.
Menurut beliau, ia supaya kedua-dua wilayah ini mampu untuk berdaya saing dan seiring dengan kemajuan dalam pelbagai aspek yang terdapat di Semenanjung Malaysia.
“Dalam keluarga yang besar ini, saya percaya kebolehan untuk mendengar permasalahan ahli-ahli keluarga juga penting bagi memastikan suasana keluarga terus kekal mesra dan muhibbah.
“Justeru, saya menganggap Persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seperti yang dilaporkan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan supaya selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah suatu permulaan yang baik untuk mendengar dan menimbangkan permintaan- permintaan ahli keluarga Malaysia daripada Sarawak dan Sabah.
“Terima kasih Yang Amat Berhormat dan semoga pindaan-pindaan tersebut nanti berjaya dibentangkan di Parlimen dan akan mendapat sokongan semua Ahli Parlimen,” katanya pada Majlis Pelancaran Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di Kuching malam tadi.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sehubungan itu, beliau berharap agar usaha dalam memastikan semangat, hak dan keistimewaan Sarawak dan Sabah dalam konteks MA63 dihormati serta difahami oleh ahli keluarga Malaysia yang lain.
Malah, Abang Johari walaupun Kerajaan Persekutuan melaksanakan pelbagai program pembangunan di Sarawak, namun apa yang telah dilaksanakan belum mencukupi bagi memastikan negeri ini mampu mengejar tahap pembangunan seperti di Semenanjung Malaysia.
“Ibarat dalam suasana sebuah keluarga, setiap ahli keluarga sememangnya mempunyai perbezaan dari segi perlakuan dan memerlukan layanan yang berbeza-beza.
“Sebagai Ketua Kerajaan Sarawak, saya melihat kaedah yang berbeza haruslah direncanakan untuk mengangkat status ekonomi di Sarawak kerana asas ekonomi negeri ini agak berbeza daripada di Semenanjung,” ujarnya.