Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Nasional mendesak agar satu siasatan dilakukan terhadap Perikatan Nasional susulan pendedahan Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid, bahawa negara kerugian RM620 juta akibat ketidakpatuhan kementerian dan kerajaan Persekutuan ketika itu dalam pengurusan kewangan.
Ketuanya, Aiman Athirah berkata, jumlah kerugian tersebut termasuk RM499.19 juta membabitkan bayaran tuntutan perkhidmatan penyelenggaraan tanpa pengesahan di Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Ini berpunca daripada kegagalan MKN menyemak dengan teliti dokumen tuntutan pembayaran daripada syarikat konsesi dan tidak membuat pemotongan pembayaran atas perkhidmatan yang tidak mencapai KPI.
“Kami menegaskan bahawa kepincangan melibatkan kerugian ratusan juta oleh sebuah agensi sepenting
MKN ini sama sekali tidak boleh dibiarkan tanpa satu siasatan bebas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Ia perlu disusuli tindakan tegas jika wujud penyelewengan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Aiman juga menyatakan kebimbangannya terhadap peningkatan hutang negara pada tahun 2020 yang kini berjumlah RM879.560 bilion atau 62.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
Hutang negara meningkat sebanyak RM86.562 bilion atau 10.9 peratus berbanding RM792.998 bilion atau 52.4 peratus di era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) pada 2019.
Peningkatan hutang negara malangnya tidak membuahkan manfaat positif kepada rakyat apabila sebanyak RM98.058 bilion (50.4 peratus) daripada RM194.555 bilion pinjaman baharu itu digunakan untuk membiayai bayaran balik pinjaman yang telah matang, kata Aiman.
Ini katanya, menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional bergantung kepada pinjaman baharu untuk membayar hutang lama dan menggunakan dana Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM8.265 bilion bagi melangsaikan liabiliti dan komitmen jaminan.
“Tindakan kerajaan menggunakan dana Kumpulan Wang Pembangunan ini untuk membayar hutang-hutang lama adalah amat tidak wajar kerana dana ini sepatutnya digunakan untuk membiayai projek-projek pembangunan fizikal berkepentingan awam.
“Kerajaan harus bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan mengurus kewangan negara dengan cekap dan telus sehingga dana yang sepatutnya digunakan untuk membina lebih banyak kemudahan untuk rakyat, tetapi digunakan untuk membayar balik hutang-hutang kerajaan,” tambahnya lagi.