Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan kesemua Kabinet Perikatan Nasional perlu disiasat segera ekoran pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2020, bahawa negara menanggung kerugian wang awam dan pembaziran berjumlah lebih RM620 juta di bawah kerajaan Umno-Bersatu-Pas.
Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata, isu pembayaran tidak teratur yang didedahkan di Dewan Rakyat semalam adalah satu perkara serius dalam tadbir urus negara.
“Pendedahan LKAN 2020 adalah membimbangkan kerana ia menunjukkan kerajaan tidak serius dalam mematuhi pengurusan kewangan yang baik.
“Misalnya, duti kastam telah terkurang pungut sebanyak RM5.92 juta dan Jabatan Imigresen rugi RM81.69 juta akibat tidak mengenakan penalti.
“Sepatutnya, menteri-menteri yang berkenaan perlu tampil ke hadapan dan bertanggungjawab atas isu-isu yang dibangkitkan oleh LKAN 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Ketua Audit Negara juga menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan kerajaan membayar hutang matang dengan RM98 bilion hutang baharu, dan bukannya menggunakan lebihan hasil yang ada.
Mengulas lanjut Faiz berkata, jika sumber kewangan telah diuruskan dengan baik, kerajaan Umno-Bersatu-Pas sepatutnya telah dapat memberikan bantuan yang lebih banyak kepada rakyat.
Bagaimanapun, daripada RM530 bilion nilai pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan, hanya RM83 bilion sahaja yang datang daripada kerajaan.
Bahkan katanya, sekurang-kurangnya RM300 bilion telah disumbangkan oleh rakyat sendiri dalam bentuk pengeluaran simpanan KWSP dan moratorium pinjaman yang tidak dikecualikan faedah.
“Sebagai captain of the ship, para menteri (termasuk Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhiaddin) harus disiasat atas kepincangan pengurusan kewangan yang berlaku.
“Ini akan menjadi amaran kepada menteri-menteri semasa dan akan datang serta semua penjawat awam supaya sentiasa mematuhi ‘standard’ pengurusan kerajaan,” tegasnya lagi.