Kerajaan perlu bertanggungjawab menrangka segera pelan tindakan komprehensif bagi menangani isu kadar upah rendah kepada jurutera yang mendapat liputan sebuah akhbar tempatan pada 28 Oktober lalu.
Exco Biro Pekerjaan & Modal Insan, Pejuang Muda Malaysia, Akmal M Yusoff mendakwa, masih terdapat perusahaan yang menggaji individu berkelulusan diploma sebagai jurutera, walaupun dengan jelas undang-undang sedia ada tidak membenarkan perkara itu.
Katanya, ini dapat dilihat di laman sesawang pekerjaan utama Malaysia, yang menunjukkan kriteria pengambilan antaranya berkelulusan minima diploma untuk perjawatan sebagai jurutera bagi syarikat tertentu.
“Syarikat atau portal pekerjaan ini digesa untuk lebih bertanggungjawab terhadap keperluan undang-undang terpakai bagi tawaran jawatan yang ingin diiklankan.
“Pihak biro mencadangkan kriteria untuk berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia dijadikan syarat wajib untuk perjawatan jurutera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Akmal mencadangkan agar Kementerian Sumber Manusia dan badan berkanun termasuk Lembaga Jurutera Malaysia, meneliti kembali mekanisma yang digunapakai bagi mendapatkan data berkenaan gaji permulaan yang lebih menyeluruh.
Beliau juga menggesa agar Kementerian, Pengajian Tinggi (KPT) awam dan swasta perlu memastikan supaya apa sahaja kursus yang ditawarkan hendaklah memenuhi keperluan industri, termasuk hal berkaitan permintaan tenaga kerja demi mengurangkan kadar lambakan graduan bagi industri tertentu.
Jelasnya, konsep ‘supply & demand’ terpakai dalam isu ini, yang sudah pasti menjadi antara penyebab utama isu gaji rendah bagi jurutera tempatan.
“Kami menggesa agar pihak berwajib terutama kementerian yang berkaitan mengambil pendekatan ‘quickly act for results’ bagi menangani isu ini.
“Apa sahaja pelan tindakan yang dirangka hendaklah dipastikan supaya ianya benar-benar berkesan dan memberi impak yang positif kepada golongan yang terkesan,” ujarnya.