Agihan kerusi: PN Sarawak serah kepada Mahiaddin, Abang Jo

Oleh ARIF ATAN

Perikatan Nasional (PN) Sarawak menyerahkan kepada keputusan kepemimpinan tingginya dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memutuskan pembahagian kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri ke-12 Sarawak (PRN-12).

Hal tersebut diserahkan kepada kepemimpinan Presiden Bersatu merangkap Pengerusi PN, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin serta Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Pengerusi PN Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah, berkata, mereka bersedia untuk berhadapan dalam PRN negeri itu setelah melaksanakan khidmat untuk rakyat selama ini.

“Konsep politik kami jelas, iaitu politik khidmat dan politik matang menjadi pegangan kerana yang perlu diutamakan adalah rakyat Sarawak dan ia melangkaui PRN.

“Kami lebih melihat peluang untuk memberi khidmat yang terbaik untuk rakyat Sarawak adalah lebih penting dan utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jaziri menambah, kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Abang Johari telah memberi perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik.

Sehubungan itu, beliau berharap adalah wajar Abang Johari diberi sokongan sekali lagi untuk meneruskan perkhidmatan dan agenda pembangunan untuk semua rakyat negeri itu.