Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik pagi ini mengulangi harapannya agar Umno kecundang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.
Menurutnya, Pas dan Bersatu masuk bertanding untuk menang sekali gus terpaksalah mengalahkan BN dan Pakatan Harapan (PH).
“… Dah Umno nak letak calon di semua kerusi. Maka terpaksalah bertembung tiga penjuru yang kita semua tak suka.
“Ada orang tanya? Boleh menang ke Umno? Saya jawab; wallahu ‘alam… Yang kuat tu Umno sebelum PRU-14. Tapi selepas itu, Umno dah separuh lumpuh,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Untuk rekod, pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru bakal berlaku dalam PRN Melaka, selepas Perikatan Nasional (PN), BN dan PH mengesahkan meletak calon di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mengulas lanjut, Mokhtar yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berkata, dia lebih suka Umno menang berbanding PH sekiranya Pas dan Bersatu tewas.
Walaupun begitu, jika Umno kalah, katanya, elok juga agar memberi pengajaran kepada parti diterajui Ahmad Zahid Hamidi itu bagi menghadapi PRU-15.
“Tapi takdirnya Umno kalah, elok juga agar menjadi sedikit pelajaran buat Umno bagaimana langkah seterusnya untuk PRU-15.
“Sebab kadang-kadang kalau asyik mendongak ke langit, anda akan lupa bumi tempat berpijak.
“Sebab itu saya sebut dalam posting terdahulu, sekali Allah beri peluang berfikir, maka berfikirlah kerana jika datang kehinaan seterusnya anda akan menyesal selamanya,” kata Mokhtar lagi.
Pas akan bertembung dengan Umno di tujuh kerusi DUN pada PRN Melaka iaitu di Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.
Walaupun bersama-sama Umno dalam gagasan Muafakat Nasional (MN), Pas pada PRN Melaka memilih untuk membentuk kerjasama dengan PN yang diterajui Bersatu.