Semua parti utama tanah air telah selesai mengumumkan calon-calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) telah lebih awal mencapai kata sepakat dalam memilih penggunaan logo PH yang akan digunakan dan dalam pembahagian 28 kerusi DUN ditandingi PKR (11), AMANAH (9), dan DAP (8).
Pengumuman calon-calon mewakili PH pula telah diumumkan semalam sebagai persediaan awal sebelum hari penamaan calon esok.
Saya amat teruja dan ucapkan syabas kerana ramai calon muda yang diketengahkan dalam PRN Melaka.
Seramai 64 peratus merupakan calon yang berumur 50 tahun ke bawah. Saya berbangga kerana lima dari 28 calon yang bertanding nanti adalah dari kalangan anak muda berumur 21 hingga 30 tahun.
Calon termuda PH adalah seorang wanita berumur 21 tahun. Selain itu, keputusan PH menurunkan hampir 40 peratus calon berumur 40 tahun ke bawah menggambarkan kesungguhan PH mengemukakan perwakilan yang berkadar dengan bilangan pengundi yang akan keluar menentukan masa depan kerajaan negeri Melaka nanti.
Sepertimana ramai penganalisa, aktivis dan pengikut politik lain, saya turut tertanya-tanya dengan keputusan PH menurunkan Dato Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan bertanding di atas tiket PH.
Saya beranggapan bahawa Majlis Presiden dan kepimpinan PH Melaka telah memperhalusi dan menimbang perkara ini semasak-masaknya.
Tambahan pula kedua-dua bekas ADUN Umno tersebut bukan melompat parti, bahkan mereka telah dipecat dari parti yang mereka anggotai.
Ia berbeza dengan tindakan khianat dan berpaling tadah Ahli-Ahli Parlimen and ADUN-ADUN terbabit sehingga jatuhnya Kerajaan Persekutuan dan beberapa buah kerajaan negeri PH sebelum ini.
Sebagai sebuah parti yang membawa pendekatan “Khemah Besar”, saya percaya PH terbuka menerima mana-mana parti dan individu yang ingin bersama dengan PH menolak kleptokrasi, melakukan reformasi, memulihkan tadbir urus dan tata kelola negara dan kerajaan negeri.
Pada saya, PH menghormati sikap dan pendirian mereka menarik sokongan terhadap kepimpinan kerajaan BN Melaka yang telah rosak, menyimpang dari urus tadbir yang baik.
Sebagai sebuah Khemah Besar, PH tentu boleh mempertimbang dan menerima mana-mana parti dan individu yang berhasrat untuk bersama-sama merealisasikan aspirasi PH.
Saya yakin pengundi dan rakyat negeri Melaka boleh menilai kebolehan, keupayaan, ketelusan dan keadilan dan keberkesanan pentadbiran di bawah kepimpinan mantan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari walaupun PH hanya mentadbir negeri selama 22 bulan.
Oleh itu, amatlah wajar mandat yang telah diberikan oleh rakyat Melaka pada PRU-14 lalu dikembalikan semula kepada PH melalui peti undi ketika PRN Melaka kali ini.